SEKAR Qaanita
SEKAR Qaanita
Ardini Sophia Sina

Kian mekar, gadis berusia 17 tahun, Sekar Qaanita komited mencorakkan kanvas seni yang baru saja bermula. Perkenalannya dengan Angga yang juga vokalis Supernova Band membuka ruang untuk menggapai impiannya bergelar penyanyi.

Semuanya bermula ketika Angga mengadakan aktiviti seni yang dibuka khas untuk kanak-kanak dan remaja lingkungan usia dari tujuh hingga 15 tahun.

Teringin untuk menyertai acara berkenaan, ibu Sekar menghubungi Angga bertanya mengenai aktiviti itu.

“Angga menjelaskan aktiviti berkenaan hanya untuk usia 15 tahun ke bawah. Saya rasa kecewa kerana tidak dapat menyertai aktiviti itu sedangkan saya mahu menimba ilmu mengenai muzik.

“Namun begitu, Angga menawarkan menghasilkan satu lagu buat saya berjudul Sembuhkan Rindu.

“Ketika mendengar demo lagu itu, saya jatuh hati kerana susunan muziknya kena dengan jiwa saya.

“Awalnya, lagu itu digubah khas untuk saya seorang tetapi ibu mencadangkan agar Angga menjadi rakan duet.

“Karya ciptaan sepenuhnya oleh Angga ini memang sesuai dinyanyikan secara berduet,” katanya.

Angga terlebih dahulu mencipta nama di Indonesia, Sekar sedar tentu akan ada yang bercakap dia menumpang nama vokalis Supernova itu dalam usaha melebarkan sayap sebagai penghibur.

Kata Sekar, dia tidak lihat gandingan dengan Angga sebagai kelebihan buatnya.

Jelasnya, mana-mana penyanyi baharu akan menggunakan pendekatan sama bagi melariskan lagu sulung mereka.

“Ada juga penghibur yang sudah popular saling duet kerana ia strategi untuk terus relevan dalam industri.

“Saya tidak boleh katakan duet dengan Angga disebabkan mahu menumpang namanya yang sedia popular.

“Sudah ditakdirkan perjalanan seni saya begitu. Malah, saya bersyukur kerana Angga setuju untuk berkolaborasi walaupun saya masih baharu,” kata Sekar.

Meminati genre pop, country dan jazz, beberapa lagu yang dimuatkan dalam mini album adalah permulaan Sekar untuk membina identiti.

Memilih untuk mempromosikan buah tangannya di Malaysia terlebih dulu, Sekar berkata, itu adalah strategi untuk menaikkan namanya di Indonesia.

Kebetulan kini cuti sekolah, Sekar menggunakan masa terluang itu untuk membuka ruang melebarkan sayapnya di Malaysia.

Kata Sekar, dia tetap mengutamakan pelajaran dan akan menerima tawaran menyanyi pada masa lapang.

“Saya masih belajar di sekolah menengah dan sama sekali tidak akan mengabaikan pelajaran. Promosi di Indonesia hanya akan dijalankan jika ada masa terluang.

“Kalau ada acara yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa meminta pelepasan daripada pihak sekolah. Mujur mereka menyokong kerjaya saya dan memberikan kelonggaran.

“Bagaimanapun, ia bukan tiket untuk mengambil kesempatan. Apabila kembali ke sekolah, saya harus menyelesaikan semua kerja sekolah yang tertinggal dan melipat gandakan usaha menguasai topik yang dibincangkan dalam kelas ketika ketiadaan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 1:00 PM