Diana berat hati benarkan ibu bercuti di Pulau Jeju. - FOTO Arkib NSTP
Diana berat hati benarkan ibu bercuti di Pulau Jeju. - FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“Saya berasa risau dengan keselamatan mama kerana baru dapat tahu dari laporan berita, Pulau Jeju akan dilanda ribut dan taufan.

“Penerbangan pulang mama ke Kuala Lumpur yang dijadualkan esok juga ditunda kerana lapangan terbang di Pulau Jeju juga ditutup sejak semalam,” kata pelakon popular Datin Diana Danielle ketika mengulas keadaan ibunya, Norsiah Ramli yang kini bercuti di Pulau Jeju sejak beberapa hari lalu.

Menurut Diana, dia terus menghubungi ibunya menerusi aplikasi WhatSapp bila dapat tahu mengenai berita taufan yang akan melanda pusat pelancongan terkenal di Korea Selatan itu.

“Mama nampak tenang saja ketika saya bertanya keadaannya dan rakan di sana.

“Namun, saya tahu mama sangat risau dengan keadaan cuaca buruk di sana.

“Ketika saya berhubung dengannya hari ini, mama beritahu memang hujan lebat dan ribut di sana sekarang,”katanya kepada Harian Metro.

Antara gambar yang dirakam Norsiah ketika bercuti. - FOTO Diana Danielle
Antara gambar yang dirakam Norsiah ketika bercuti. - FOTO Diana Danielle

Terus-terang, kata Diana, pada mulanya, dia memang berat hati untuk membenarkan ibunya bercuti bersama rakannya di Pulau Jeju itu.

“Saya juga tidak sampai hati untuk menghalang kerana mama sudah lama tidak bercuti kerana sibuk bekerja.

“Namun, saya berasa terkilan kerana tidak berada di sisinya ketika berdepan dengan situasi sukar sedemikian,” katanya.

Pada masa sama, Diana juga meminta orang ramai untuk sama-sama mendoakan keselamatan ibu dan rakannya di sana.

“Saya berdoa semoga mama dan rakannya serta semua pelancong di Pulau Jeju berada dalam keadaan selamat.

“Saya juga tidak akan membenarkan mama bercuti tanpa ditemani ahli keluarga terdekat selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 7:18 PM