Aizat Amdan. FOTO Eizairi Shamsuddin
Aizat Amdan. FOTO Eizairi Shamsuddin
Amirul Haswendy Ashari


PENYANYI berbakat besar, Aizat Amdan, 29, akui sudah bersedia untuk mengadakan konsert pada bila-bila masa saja sebaik saja mendapat sokongan diperlukan.

“Saya sentiasa seorang penghibur dan berasakan versi terbaik saya adalah apabila berada di atas pentas dan menyanyikan lagu sendiri.

“Saya nak buat (konsert) tapi perlukan sokongan daripada semua seperti daripada pihak label dan mungkin ‘platform’ (wadah) digital,” katanya.

Katanya, selagi mendapat semua sokongan itu dan berkongsi visi yang sama, mengapa tidak?

Penyanyi baru muncul dengan lagu Sampai Hari Tua mendedahkan dia mempunyai banyak lagu yang boleh dipilih dan dimainkan di pentas secara ‘live’ sambil dinyanyikan bersama peminat.

“Tapi biasalah apabila saya cakap perkara ini kepada pihak pengurusan, mereka kata kena rancang betul-betul. Kena duduk dan bincangkan kerana untuk buat konsert kena ada keterujaan menarik orang,” katanya.

Katanya, banyak aspek yang orang boleh bergembira apabila ke konsert dan mereka sanggup bayar untuk pergi.

Aizat akui usaha ke arah itu sudah ada dan apabila sudah lengkap serta berbaloi untuk dia sendiri membuat persembahan, impian itu pasti terlaksana secepat mungkin.

“Kalau saya sendiri pun mahu tengok diri sendiri berada di atas pentas,” katanya.

Kali terakhir Aizat mengadakan konsert secara besar-besaran adalah Konsert Urusan Aizat Amdan di Damansara dan Aizat Amdan Borneo Tour di Sabah dan Sarawak pada tahun 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 4:47 PM