Ridzuan Abdul Rahman


PEMAIN gitar terkenal Yngwie Malmsteen berjanji akan menampilkan persembahan terbaik pada penampilan sulungnya menerusi Konsert Yngwie Malmsteen Live In Malaysia di Yayasan Hall, Menara PGRM, Kuala Lumpur, 9 malam ini.

Malmsteen, 55, yang bernama sebenar Lars Johann Yngve Lannerback mengakui tidak sabar beraksi di atas pentas serta menjadikan konsert ini sebagai satu persembahan yang hebat.

“Sejujurnya saya tidak pernah lagi sampai ke Malaysia dan tidak mempunyai apa-apa tanggapan mengenai negara ini.

“Bagaimanapun setakat ini saya rasa teruja untuk mengenali negara anda dan dari apa saya lalui sekarang, saya amat suka dengan Malaysia.

“Orang di sini kelihatan baik dan sudah tentulah saya akan menghadiahkan mereka dengan persembahan hebat,” katanya pada sidang media di Panggung Asia, Setor Gombak, petang semalam.

Nama pemain gitar ini sudah dikenali peminat Malaysia sejak awal 1980-an lagi. Konsertnya dianjurkan RSPP Media dengan kerjasama Panggung Asia serta dipromosikan Lampuneon Entertainment.

Malmsteen menjelaskan tidak boleh menerangkan mengenai muziknya jika ada pertanyaan ke arah itu dan meminta agar mendengar sendiri supaya boleh memahaminya.

“Saya tidak boleh menerangkannya. Nikmati konsert saya dan apa yang boleh diharapkan daripada persembahan itu nanti adalah 100 peratus keterujaan dan keseronokan.

“Saya menampilkan pilihan pelbagai lagu-lagu dari awal karier saya hinggalah ke album terbaharu "World On Fire" dan satu seleksi yang benar-benar bertenaga tinggi," katanya.

YNGWIE Malmsteen (kiri) ketika sesi bertemu peminat sempena konsert sulungnya di Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Rosdan Wahid.
YNGWIE Malmsteen (kiri) ketika sesi bertemu peminat sempena konsert sulungnya di Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Rosdan Wahid.

Kehebatan Malmsteen mengendalikan gitar Fender Stratocaster dengan gaya muzik neo-klasik digabungkan dengan heavy metal memberi pengaruh besar kepada ramai pemain gitar tempatan terutama Man Kidal.

Ditanya adakah dia menjadi inspirasi kepada ramai gitaris dunia daripada segi stail dan teknik, Malmsteen mengingatkan perlunya ada identiti sendiri.

“Jika anda lihat, sebelum saya menembusi industri dan menjadi terkenal, semua orang cuba untuk meniru gaya Eddie Van Halen.

“Apabila saya tiba pula, semua orang cuba meniru gaya saya. Pada saya ia bagus dari segi mempelajari (teknik) daripada pemuzik lain, tetapi jika anda tidak mengambil langkah ke hadapan dan membentuk stail sendiri, anda hanya akan menjadi peniru dan itu bukanlah sesuatu yang bagus, kan?,” katanya.

Mengulas mengenai teknik ‘shredding’ dan kelajuannya dalam memetik gitar, Malmsteen yang hebat dalam kombinasi muzik klasikal dengan heavy metal berkata, semuanya sudah dijelaskan dalam buku tulisannya.

“Saya sebenarnya sudah menulis sebuah buku mengenai perkara ini bertajuk "Relentless: The Memoir", anda boleh dapatkannya di Amazon.com.

“Permulaan saya bermain gitar pada umur tujuh tahun, tetapi saya dapat gitar pertama saya pada usia seawal lima tahun lagi.

“Sejak dari mula lagi, saya sentiasa buat apa yang saya mahu dan suka sahaja. Saya tidak mengikut trend atau apa yang menjadi kegilaan ketika itu. Saya sentiasa mempunyai visi mengenai apa saya akan jadi, apa yang saya akan buat. Jadi, saya tidak kisah sangat dengan apa yang orang lain buat ketika itu, maknanya saya tidak berapa dengar muzik orang lain,” katanya.

Tiket untuk menonton konsert ini berharga RM900 untuk kategori VVIP, RM300 (CAT 1) dan RM250 (Rock Zone) serta boleh didapati menerusi www.ticketpro.com.my atau sebarang pertanyaan menerusi 03-78807999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 2:22 AM