Ardini Sophia Sina


PENYANYI, Sufian Suhaimi mengakui tidak terbeban untuk menghasilkan single baharu seterusnya selepas muzik video Di Matamu mendapat tontonan melebihi 20 juta di YouTube dalam tempoh sebulan.

Menurut Sufian, dia tidak menghasilkan sesebuah lagu sebagai penanda aras kejayaan sebaliknya ia adalah eksperimentasi dalam usaha untuk mewarnai bidang seni suara.

“Saya tidak pernah mengejar jumlah tontonan kerana setiap lagu saya nyanyikan itu berbeza daripada segi susunan muzik dan genre. Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah bertujuan untuk memeriahkan industri seni.

“Insya-Allah, untuk single seterusnya pun saya akan tampil dengan genre berbeza. Kalau orang boleh terima, Alhamdulillah. Kalau sebaliknya, saya akan terus berusaha mencari kelainan,” katanya.

Jejaka berusia 26 tahun yang popular dengan lagu Terakhir itu berkata, dia bukanlah individu yang mudah selesa dengan kejayaan dikecapinya.

Dalam usaha menjadi seorang penyanyi yang disegani dan versatile, Sufian perlu melakukan perkara berbeza bagi menyerlahkan sisi lainnya sebagai penghibur.

“Dari single pertama hingga yang baharu ini, mungkin umum melihat saya masih mempunyai fokus dalam menghasilkan lagu. Namun, saya bukanlah jenis orang yang cepat selesa dan berpuas hati.

“Saya perlu melakukan kelainan demi usaha menjadi penghibur yang disegani dan versatil,” katanya.

Terdahulu, Sufian bersyukur dan menganggap jumlah tontonan Di Matamu adalah hadiah paling istimewa sempena ulang tahun kelahirannya yang disambut, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 4:41 PM
Sufian bukan jenis cepat berpuashati dengan pencapaian sekarang. FOTO ADIBAH AHMAD IZAM
Sufian bukan jenis cepat berpuashati dengan pencapaian sekarang. FOTO ADIBAH AHMAD IZAM