Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Kunjungan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ke Persatuan Karyawan Film dan Televisi (KFT) Indonesia di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini membuka peluang artis tempatan membina tapak di Indonesia selepas kedua-dua pihak bersetuju membawa masuk artis masing-masing.

Kunjungan yang diketuai Presiden Seniman Zed Zaidi disambut Koordinator Pusat Pengembangan Filem Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Marlina Yulianty.

Hadir sama, pengarah produksi filem negara itu, Adisurya Abdy dan pelakon veteran Indonesia, Roy Marten.

Zed berkata, dalam kunjungan itu pihaknya membincangkan masa depan artis tempatan dan hala tuju industri hiburan tanah air.

Zed turut menyuarakan saranan supaya artis tempatan diberi peluang berlakon drama dan filem di Indonesia seperti kehadiran selebriti negara itu di Malaysia.

“Ini langkah yang adil kerana ramai artis Indonesia datang ke negara kita antaranya Randy Pangalila, Irwanshah, Datuk Rossa, Judika, Firman dan ramai lagi. Malaysia dan Indonesia hidup berjiran, kita perlu membantu antara satu sama lain.

“Jadi, kami berharap artis tempatan bersama produk drama, filem dan lagu boleh menembusi pasaran Indonesia,” katanya.

ZED Zaidi memberi ucapan.
ZED Zaidi memberi ucapan.

Zed berkata, kerjasama persatuan artis membabitkan dua negara penting untuk menikmati faedah bersama.

Sementara itu Marlina berkata, pihaknya tiada masalah membawa masuk artis Malaysia bagi membintangi drama, filem dan membuat persembahan.

“Kami terbuka menerima artis Malaysia, malah kerjasama antara dua negara berkaitan seni dan budaya terjalin sekian lama. Kami sedar ramai artis Indonesia mencari rezeki di Malaysia dan kami juga bersedia untuk perkara itu,” katanya.

Menurut Marlina, pihaknya akan mengadakan kunjungan balas di pejabat Seniman dalam masa terdekat ini bagi mengadakan perbincangan lanjut.

Dalam pada itu, Roy berkata, dia bersetuju sekiranya pelakon Malaysia dibawa masuk ke Indonesia bagi membintangi drama dan filem.

“Saya sendiri pernah berlakon (drama) di Malaysia dan mengenali rakan seangkatan seperti Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Kerjasama antara Malaysia dan Indonesia penting kerana kita memiliki budaya dan bahasa yang hampir sama,” katanya.

Roy yang berpengalaman selama 45 tahun dalam dunia lakonan berkata, Malaysia dan Indonesia umpama adik-beradik dan jalinan kerjasama akan mengembangkan lagi industri seni di Nusantara.

Adisurya pula berkata, tiada masalah membawa filem dan drama dari Malaysia kerana pendaftaran kemasukan filem import, panggung wayang dan pemantauan boleh dilakukan.

“Apa yang penting bagi kami adalah kualiti sesebuah filem dan drama. Kita boleh bekerjasama asalkan kualiti produk itu dijaga,” katanya.

PENGURUSAN Seniman bergambar bersama Adisurya dan Roy Marten.
PENGURUSAN Seniman bergambar bersama Adisurya dan Roy Marten.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 4:52 AM