AIZAT Amdan
AIZAT Amdan
Ardini Sophia Sina

Penyanyi dan penggubah lagu Aizat Amdan antara bintang berbakat besar dalam industri. Tidak hanya pada vokal, malah lagu yang dihasilkan juga mendapat maklum balas positif pelbagai pihak.

Anak seni yang popular dengan lagu Sungai Lui itu mahu kembali aktif menyanyi pada tahun ini. Muncul dengan lagu Sampai Ke Hari Tua, Aizat berkata, dia mendapat ilham itu berdasarkan pemerhatiannya dalam keluarga.

“Seperti tajuk itu, ia menceritakan kisah cinta antara pasangan yang tetap kuat sampai hari tua. Saya rasa semua orang yang sudah berkahwin atau sedang bercinta pastinya mahu sama-sama mengharungi cabaran dan kegembiraan sampai maut memisahkan.

“Ilham menghasilkan lagu ini adalah berdasarkan apa yang saya lihat dalam keluarga. Saya lihat ibu dan bapa saudara masih saling menyayangi walaupun sudah semakin berusia. Keadaan ini yang semua orang impikan,” kata Aizat.

Fokus mempromosikan lagu itu, Aizat bakal bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman bagi memudahkan urusan kerjaya seninya.

Katanya, dia membuat keputusan itu kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama bapanya, Datuk Amdan Mat Din.

Tahap kesihatan bapanya buat masa ini kurang memuaskan, jadi sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai anak memberikan perhatian dan menjaga insan kesayangannya itu. Setakat ini, dia berpuas hati dengan cara syarikat berkenaan mengendalikan kariernya.

“Dulu saya uruskan kerjaya sendiri, tetapi ada beberapa insiden yang buat saya tukar fikiran. Pertama, bekas pengurus saya mengalami masalah kesihatan. Kemudian, ayah saya pula diserang angin ahmar tahun lalu.

“Apabila ada syarikat pengurusan, insya-Allah perjalanan seni saya lebih lancar. Oleh sebab Faizal Tahir juga selalu bekerjasama dengan syarikat itu, saya jadi lebih yakin untuk memilih mereka,” katanya.

Aizat juga lega apabila syarikat berkenaan tidak menentukan hala tuju muzik yang ingin dibawanya. Mereka menghormati apa sahaja pilihan Aizat. Diminta berkongsi pendapat mengenai kemuculan ramai bakat baru dalam arena seni suara, Aizat berkata, dia berharap umum tidak terlalu awal mengkritik dan menghakimi bakat mereka.

Malah, dia memuji lagu yang dinyanyikan artis baru sedap dan memenuhi selera pendengar pada masa kini. Aizat memandang situasi itu dari sudut positif kerana anak muda adalah pelapis yang akan terus menghidupkan industri muzik.

“Mereka masih muda. Masih ada banyak masa untuk menimba ilmu. Buat masa sekarang, jangan kita terlalu cepat mengkritik. Beri mereka masa dan ruang untuk memperbaiki mutu nyanyian.

“Mereka ada bakat, bukan hanya mempunyai vokal yang baik, tetapi juga boleh menulis lagu. Saya rasa mereka boleh pergi jauh dalam industri. Mari kita sama-sama memberikan sokongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 2:42 AM