ADIRA.
ADIRA.
Syafil Syazwan Jefri

Banyak perkara yang tanpa kita sedari sebenarnya menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia. Salah satunya adalah mengenai poligami dan kedudukan isteri kedua.

Bagi penyanyi Adira, namanya yang baru-baru ini kembali menjadi sebutan selepas muncul sebagai penghias kulit majalah hiburan dengan judul berkaitan isteri kedua dan ia bukan satu masalah.

“Saya sudah biasa dikecam. Lagipun, bukan saya yang mahukan wajah terpampang bersama tajuk begitu,” katanya.

Menurut isteri kedua kepada Datuk Red itu, dia lebih selesa berdiam diri daripada membalas kecaman masyarakat terhadap dirinya.

“Mereka yang kenal rapat dengan saya tentunya tahu saya bukan jenis yang akan membalas balik kata-kata daripada netizen.

“Berdiam diri bukan bererti saya tak ambil tahu mengenainya. Tapi, selagi keadaan masih terkawal, saya cuba untuk tak membalas apa juga komen berbaur kecaman,” katanya.

Adira juga melihat dari sudut positf kerana itu mungkin satu daripada beberapa strategi untuk mempromosikan majalah berkenaan.

“Jika kita lihat dari sudut positif, itu secara tak langsung memantapkan pemasaran dan jadi satu promosi. Apabila orang bercakap, orang akan cari dan ingin tahu kandungan ceritanya,” katanya.

Mengulas lagi mengenai kulit majalan yang menggandingkannya dengan pelakon, Izreen Azminda itu, Adira menganggap ia tidak serius selagi tidak mengganggu keharmonian keluarganya.

“Selagi kecaman itu tidak mengganggu keluarga saya atau sehingga memudaratkan, saya anggap ia tak serius.

“Saya yakin, lama-kelamaan mereka senyap apabila tiada reaksi. Jadi, saya teruskan kehidupan dan kerja saya seperti biasa,” katanya.

Bercerita mengenai keluarga, Adira tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki anak lagi.

“Anggerik pun dah nak masuk 11 bulan. Saya sendiri pun dah nak masuk usia 30 tahun, jadi kalau ada rezeki untuk dapat anak lagi, tak jadi masalah,” katanya.

Adira juga meluahkan hasratnya untuk memiliki anak kembar sekiranya ada rezeki.

“Seronok juga kalau dapat anak kembar. Keluarga saya di sebelah ibu ada genetik kembar. Dalam keluarga, saya ada kakak kembar namun umur mereka tak panjang,” katanya.

Terbaru, Adira yang bernaung di bawah pengurusan Rocketfuel hadir dengan single terbarunya berjudul Sembunyi.

“Single ciptaan Alif Sleeq itu dilancarkam pada 2 Februari lalu dan kini kami menyiapkan video muziknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 1:21 PM