Adam fokus kepada kerjaya demi anak. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Adam fokus kepada kerjaya demi anak. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON Adam Shahz, 35, menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia cuba menjatuhkan bekas isterinya, pelakon Fatin Afeefa dengan menyebarkan foto bercium didakwa milik Fatin kepada umum, minggu lalu.

"Kalau betul saya ingin jatuhkan dia, rasanya baik saya lakukan sewaktu mula-mula kami bermasalah pada bulan puasa tempoh hari. Rasanya itu waktu yang baik kalau saya bertindak.

"Kalau dia kata saya pecah masuk rumah dia, tak mengapa, tuduhlah. Allah lebih mengetahui. Apa pun saya doakan yang terbaik untuk dia," katanya.

Pelakon Baru Lelaki Terbaik menerusi filem Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan pada Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) turut menafikan dakwaan memecah masuk rumah Fatin konon dengan tujuan mendapatkan bukti terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, Adam mengakui ada menerima panggilan telefon daripada bekas isterinya selepas foto itu tersebar.

"Saya cakap tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan memintanya berhati-hati kerana ramai memerhati," kata Adam lagi.

Katanya, masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak. Malah Adam pada masa ini memberi tumpuan kepada kerjaya demi masa depan anak.

Adam dan Fatin bercerai talak satu pada Mei lalu.

Laporan Harian Metro 10 Disember lalu, Fatin mendakwa mengenali individu menyebarkan foto dipercayai miliknya kepada umum.

Sebelum itu, ruangan Cik Pang di Metro Ahad lalu menyiarkan foto dan kisah seorang artis berstatus janda yang berkongsi foto bercium dengan kekasihnya di laman sosial miliknya.

Banyak pihak terutama netizen mendakwa foto itu adalah milik Fatin.

Namun foto itu dipadam selepas beberapa saat dimuat naik dan menerima tiga 'like' daripada pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 7:39 PM