ZAIRA Wasim
ZAIRA Wasim
Norhayati Nordin


Dua tahun menceburi bidang lakonan di Bollywood, bakat Zaira Wasim, 17, mendapat pujian ramai.

Apatah lagi, filem lakonannya iaitu Dangal dan Secret Superstar berjaya menambat hati penonton.

Menerusi Dangal, Zaira meraih trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Filem Kebangsaan 2016. Menjayakan watak atlet wanita terkenal Geeta Phogat, lakonan Zaira amat menyentuh hati.

Tahun ini, Zaira tampil pula dengan filem Secret Superstar arahan Advait Chandan yang turut dibintangi Aamir Khan.

Sekali lagi, Zaira melakar sejarah manis apabila mendominasi Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Kebangsaan untuk Pencapaian Luar Biasa di Anugerah Filem Kebangsaan 2017.

Anugerah berprestij itu diterima Zaira daripada Presiden India, Shri Ram Nath Kovind dalam majlis yang berlangsung di New Delhi, India baru-baru ini.

Zaira ketika berucap, menzahirkan rasa terharu dengan pengiktirafan hebat dan sangat bermakna buatnya itu.

“Cukup istimewa apabila saya dipilih untuk menerima anugerah ini. Ia menjadi peniup semangat saya untuk terus berusaha dan bekerja lebih gigih lagi.

“Apatah lagi, semangat positif yang saya kongsi mampu memberikan kebaikan kepada wanita, remaja dan kanak-kanak untuk mengejar kejayaan,” katanya.

Menurut Zaira lagi, dia berbanyak terima kasih dengan kasih sayang yang diberikan masyarakat terhadapnya.

Anugerah Kanak-Kanak Terbaik Kebangsaan untuk Pencapaian Luar Biasa diberikan kepada individu yang mempunyai kebolehan hebat dalam akademik, kebudayaan, kesenian dan sukan.

Penerima anugerah ini terdiri daripada kanak-kanak berusia lima tahun hingga remaja 18 tahun.

Dalam Secret Superstar, Zaira melakonkan watak Insiya Malik yang tekad mengejar impian bergelar penyanyi.

Meskipun sedar perlu berdepan banyak cabaran, gadis berusia 14 tahun itu tidak pernah gentar atau berputus asa.

Kecekalan hati Insiya dianggap inspirasi yang baik untuk disuntik ke dalam jiwa kanak-kanak.

“Tidak dinafikan, bukan mudah nak berjaya dalam hidup ini. Kita perlu berusaha walaupun perit.

“Saya menyerapkan semangat saya ke dalam watak Insiya,” katanya.

Filem Secret Superstar mula ditayangkan di India pada 19 Oktober lalu sempena sambutan Deepavali.

Kini, filem yang mengangkat perjuangan remaja mengejar cita-cita ini sudah ditayangkan di seluruh dunia

Ia karya terlaris di India apabila mencatat kutipan pecah panggung di seluruh dunia.

Selain Zaira dan Aamir, filem ini turut dijayakan Raj Arjun serta Meher Vij.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 3:16 AM