Fazura menerima anugerah emas daripada Universal Music Malaysia. FOTO Sairien Nafis.
Fazura menerima anugerah emas daripada Universal Music Malaysia. FOTO Sairien Nafis.
Fazura serahkan soal jodoh kepada Ilahi. FOTO Sairien Nafis.
Fazura serahkan soal jodoh kepada Ilahi. FOTO Sairien Nafis.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Fazura mengakui gosip yang mengatakan dia bakal bertunang dengan pelakon Fattah Amin pada 13 November ini sekadar gimik dan publisiti yang dicipta sempena tayangan drama TV Wanita Terindah lakonan mereka.

Fazura, 34, berkata buat masa ini dia tidak berani untuk bercerita mengenai jodoh dan menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Ilahi.

“Apabila drama ini ditayangkan, banyak pula cerita keluar termasuklah fasal bertunang. Apa boleh saya katakan ini sekadar gimik pihak pengurusan saya dan Fattah. Mungkin ini cara publisiti mereka,” katanya.

Fazura turut mencipta sejarah tersendiri apabila album sulungnya berjudul Fazura yang baru dilancarkan hari ini sudah terjual 5,000 unit menerusi tempahan awal sejak 23 Oktober lalu.

Ia sekali gus melayakkan Fazura, 34, menerima anugerah emas daripada syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki dan rahmat Allah. Saya tidak menjangka album sulung ini mendapat sambutan luar biasa walaupun baru dilancarkan.

“Ini satu lagi pencapaian tertinggi dalam kerjaya nyanyian saya. Walaupun sebelum ini ramai mengkritik dan menghina keputusan saya untuk jadi penyanyi, kejayaan ini membuktikan saya bukan syok sendiri.

“Saya percaya apa saja yang diperkatakan orang baik atau buruk, ia tetap satu doa. Terima kasih atas semua sokongan peminat yang diberikan selama ini,” katanya.

Pada majlis pelancaran itu, Fazura juga tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.

“Saya menangis mengenangkan pembabitan dalam bidang nyanyian. Memang pada mulanya keputusan menyanyi sekadar suka-suka, tetapi apabila pihak Universal Music menawarkan untuk menerbitkan album, saya sangat terharu.

“Kepercayaan diberikan mereka membuatkan saya lebih bersemangat. Saya bekerja keras untuk album ini ditambah pula kekangan kerja dan masa yang tidak menentu. Walaupun penat, saya tetap teruskan. Alahamdulillah, hasilnya sangat berbaloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 4:37 PM