Kiera bersama Alif (kiri) dalam program CleverGirl. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Kiera bersama Alif (kiri) dalam program CleverGirl. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Syanty Octavia Amry


SISTEM Televisyen Malaysia Berhad (TV3) mengambil maklum mengenai keputusan Noor Syakirah Mohd Azam atau Kiera untuk menarik balik kenyataannya mengenai rancangan CleverGirl Malaysia Musim Kedua seperti yang dilaporkan oleh beberapa media di laman sosial.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, TV3 menegaskan bahawa segala dakwaan melalui kenyataan asal bekas peserta rancangan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

TV3 sentiasa mengambil berat tentang integriti rancangan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu dan berunsur fitnah.

Sementara itu, penerbit program berkenaan, Nazatul Fariz ketika dihubungi berkata, tiada sebarang komen daripada pihaknya berkenaan hal itu.

"Saya tidak boleh memberi sebarang ulasan mengenai hal ini. Apa-apa pun keputusan perlu tunggu daripada pihak atasan," katanya ringkas.

Terdahulu, pada 21 September lalu, secara rasminya bekas peserta dari Pulang Pinang itu menarik diri daripada program yang dikendalikan oleh Alif Satar itu.

Menerusi laman Instagram miliknya, Kiera meluahkan rasa tidak puas hati terhadap program kendalian TV3 itu dikatakan mempergunakannya sebagai bekas pelajar universiti berprestij dunia iaitu Universiti Oxford.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 6:55 PM