EZZATY belum buat persiapan untuk sambut cahaya mata sulung.
EZZATY belum buat persiapan untuk sambut cahaya mata sulung.
Ramlah Zainal


Meskipun usia kandungannya sudah mencecah enam bulan, Ezzaty Abdullah belum membuat persiapan untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya itu.

Menurut isteri pelakon Azwan Kombos ini, dia ingin mengetahui jantina bayi terlebih dulu sebelum membeli segala keperluan.

“Saya sudah membuat pemeriksaan kandungan tetapi setakat ini belum tahu jantina.

“Apabila sudah tahu lelaki atau perempuan, barulah saya teruja untuk membeli-belah. Andai tak nampak juga, saya akan mula membeli apabila kandungan mencecah usia lapan bulan.

“Buat masa ini, saya hanya membuat tinjauan di kedai barangan bayi dan secara di talian saja.

“Begitu juga nama, saya dan suami sudah senaraikan beberapa pilihan untuk bayi lelaki dan perempuan,” katanya.

Ezzaty turut memaklumkan kandungannya sihat malah dia tidak mengalami alahan teruk.

“Alhamdulillah, saya dan kandungan sihat. Bayi semakin aktif bergerak dan menendang dalam perut.

“Saya pun semakin aktif dan suka mengemas rumah. Sebelum ini suami yang buat semua kerja rumah, saya hanya memasak tetapi sekarang semua benda saya nak buat sendiri,” katanya.

Ezzaty ditemui pada malam gala filem Kau Takdirku yang berlangsung di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Ezzaty juga mengakui dia tidak mengidam sebarang makanan yang pelik dan sukar diperoleh sepanjang hamil.

“Kalau teringin pun, nasi lemak dan kek. Selera makan sama saja cuma lebih cepat lapar dan tidak boleh banyak seperti sebelum ini.

“Berat badan baru naik satu kilogram dan doktor minta saya tambah lagi kerana bimbang ia menjejaskan tumbesaran kandungan.

“Kalau boleh, saya juga ingin bersalin secara normal nanti,” katanya.

Kembali berlakon selepas pantang

Selepas disahkan hamil tiga bulan, Ezzaty memutuskan berehat seketika.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa wajahnya semakin jarang menghiasi televisyen.

“Memandangkan ini pengalaman pertama hamil, saya tidak larat berada di lokasi penggambaran hingga lewat malam.

“Ada beberapa tawaran berlakon tetapi saya terpaksa tolak. Namun, andai komitmen yang memerlukan saya berada di lokasi separuh hari, ia akan dipertimbangkan.

“Kali terakhir saya berlakon adalah telefilem Pengemis Itu Saudaraku untuk slot Cerekarama di TV3 yang masih menanti tarikh tayangan,” katanya.

Ezzaty memaklumkan dia akan kembali berlakon selepas selesai menjalani tempoh berpantang.

“Saya akan berpantang di rumah ibu di Bentong, Pahang.

“Insya-Allah selepas 100 hari saya akan kembali berlakon namun bergantung juga pada kesihatan anak nanti,” katanya.

Bercerita mengenai filem pertama lakonannya yang berjudul Kau Takdirku, Ezzaty mengakui sudah memberikan yang terbaik.

“Saya harap peminat beri komen positif dan membina kerana karya ini dihasilkan tiga tahun lalu.

“Saya juga menimba pengalaman berharga bekerja dengan Bront Palarae dan Remy Ishak, “ katanya.

Antara filem lakonan Ezzaty sebelum ini ialah Mirip, Anak Mami Nasi Kandaq dan Chawrasta.

Filem Kau Takdirku arahan Jason Chong dan terbitan Grand Brilliance ini akan menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 7 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 4:40 AM