ZIHA
ZIHA
Norhayati Nordin

Hamil lima bulan tidak menghalang Ziha Salleh, 22, terus aktif dalam karier seni.

Meskipun Ziha atau Nor Aziha Md Salleh sudah memutuskan untuk rehat daripada berlakon, tetapi tidak dalam bidang seni suara. Apatah lagi dia yang juga peserta Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) kini muncul dengan single solo pertama.

Mempertaruhkan single Takkah Ini Cinta ciptaan komposer terkenal, Ajai, penyanyi dan pelakon kelahiran Johor ini mengakui dia meletak harapan tinggi.

Katanya, dia merakam single ini tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga bersama Zarul Hafis Zarak Kamal, 30.

“Selepas hampir setahun dirakam, baru sekarang single Takkah Ini Cinta giat saya promosikan. Lirik video single ini juga dimuat naik ke YouTube awal bulan ini, namun tidak ramai yang tahu,” katanya.

Bagi Ziha, single Takkah Ini Cinta yang liriknya ditulis AD Samad disifatkan sesuai dengan jiwanya. Lagu ini juga kena dengan vokalnya dan dihasilkan mengikut apa yang diinginkan.

“Melodi lagu ini ‘catchy’. Boleh dikatakan mampu menambat cita rasa pendengar muzik masa kini sekiranya ia kerap berkumandang di radio,” katanya.

Anak bongsu dalam keluarga ini yakin Takkah Ini Cinta sedap didengar dan mampu mesra radio. Ziha berharap peminat muzik di negara ini dapat menerima baik kemunculan single solonya yang menjadi taruhan sebagai penyanyi.

Anehnya selepas AF 2014 melabuhkan tirai, rezeki Ziha lebih banyak berlakon drama berbanding menyanyi.

Selama hampir tiga tahun aktif berlakon, Ziha pernah membintangi drama seperti Dee The Series, Isteri Separuh Masa, Jodoh Sebelah Pintu, Dia Semanis Honey, Dia Semanis Honey Moon dan Dia Semanis Honey Raya.

Kata Ziha, walaupun kini hamil, dia tidak rasa terbeban dan berasa penat dengan urusan promosi. Dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan.

“Alhamdulillah, dari awal disahkan mengandung sampai sekarang, kesihatan saya tidak terganggu. Saya masih boleh aktif bergerak ke mana saja walaupun ada kalanya nafas tercungap juga. Tetapi, ia perkara biasa,” katanya.

Biarpun makin sarat mengandung, dia perlu aktif kerana baik untuk kesihatan diri dan bayinya.

“Suami juga memahami dan memberi sokongan padu. Cuma untuk lakonan, saya perlu berehat seketika kerana bekerja di lokasi penggambaran memerlukan komitmen tinggi dan ia mungkin menyebabkan saya cepat penat,” katanya.

Mengenai jantina anak, Ziha tanpa berselindung memberitahu dia bakal menimang cahaya mata lelaki selepas menjalani imbasan.

“Bagi saya, tidak ada apa yang hendak dirahsiakan mengenai jantina anak. Pun begitu, ia pilihan masing-masing.

“Jika ada selebriti yang memilih untuk berahsia sebagai kejutan, itu hak mereka. Untuk saya pula, tiada rahsia. Apa yang saya harapkan cuma tahap kesihatan tidak terganggu dan dapat melahirkan anak dengan mudah.

“Secara tidak langsung, saya berharap dapatlah kiranya peminat mendoakan yang terbaik buat saya dan bayi,” katanya.

Berkongsi perasaannya untuk bergelar ibu, Ziha berkata, dia sangat teruja dan tidak sabar menanti kelahiran bayinya.

“Anak bukan saja amanah Allah kepada saya dan suami, kehadiran anak juga menjadi pengikat kasih kami.

“Inilah lambang cinta saya dan suami. Saya berharap dapat melahirkan anak yang comel dan sihat,” katanya.

Ziha yang memilih menamatkan zaman bujang ketika usia muda berasa lebih tenang selepas berumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 2:32 AM