JAZRUL bersama produk pembekal tenaga segera bagi membantu atlet atau golongan yang minat bersukan.
JAZRUL bersama produk pembekal tenaga segera bagi membantu atlet atau golongan yang minat bersukan.

Kuala Nerus: Memandangkan tidak banyak produk makanan untuk ahli sukan dihasilkan oleh usahawan tempatan, Hutan Ration Powerfood (HR) menjadikan faktor itu bagi membantu atlet mahupun golongan yang minat bersukan mendapatkan snek segera dan sihat.

Pengasas dan Pengarah Urusan HR, Jazrul Fuad berkata, oleh itu pihaknya mengeluarkan produk pembekal tenaga segera namun untuk memasarkannya bukan usaha yang mudah kerana terpaksa bersaing dengan produk seumpamanya dari luar negara yang mempunyai jenama kukuh dalam pasaran.

Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat kecil yang baharu 'bertatih' dalam dunia perniagaan, bantuan atau khidmat nasihat untuk pelbagai aspek diperlukan bagi memastikan kelangsungan dan kemajuan di masa hadapan.

Justeru, beliau berterima kasih kepada Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) yang membantu Hutan Ration membina strategi dan meluaskan prospek produk kepada pasaran luar.

"Apabila pandemik Covid-19 melanda, jualan memang sangat terkesan kerana produk kami asasnya snek untuk ahli sukan, tetapi aktiviti sukan pula dihentikan sepenuhnya dalam tempoh itu.

"Kami amat perlukan bantuan daripada segi bimbingan untuk bina kembali strategi perniagaan dan menembusi pasaran lebih luas di luar sana," katanya di kilang Hutan Ration yang terletak di Kawasan Perindustrian Gong Badak di sini.

Menceritakan detik awal perniagaan, Jazrul yang mempunyai latar belakang dalam bidang ekonomi berkata, beliau mula mengusahakan produk pembekal tenaga segera atau bar tenaga pada 2016 secara kecil-kecilan di rumahnya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sambutan baik serta maklum balas positif yang diterima daripada kalangan rakan dan pelanggan mendorongnya mengusahakan produk itu pada skala lebih besar di kilang di Terengganu.

"Saya bermula dengan produk bebola protein dan energy bar yang terdiri daripada lapan jenis perisa.

"Bagaimanapun, selepas mengkaji keperluan dan permintaan pasaran, kami perkenalkan produk baharu granola yang juga didatangkan dalam pelbagai perisa," katanya.

Granola adalah sejenis sarapan yang mengandungi bijirin, kekacang, bijian dan buah-buahan kering seperti juga muesli.

Bagaimanapun, granola dipanggang dalam oven dan biasanya mengandungi pemanis tambahan seperti madu atau sirap manakala muesli dimakan mentah dan dimaniskan dengan buah-buahan kering sahaja.

Jazrul berkata HR mengeluarkan kira-kira 20,000 pek snek bar sebulan.

Produk keluaran HR mendapat pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali gus menjadikannya lebih istimewa berbanding produk serupa di pasaran selain dihasilkan daripada bahan mentah bergred premium, segar dan berkualiti tinggi namun dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM8 hingga RM30, katanya.

Beliau berkata lebih 90 peratus bahan mentah seperti badam, oat, kekacang dan kurma diimport daripada pengeluar terbaik luar negara manakala madu yang digunakan juga dijamin keasliannya.

Antara pelanggan Hutan Ration ialah Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bola Sepak Singapura, pasukan lumba basikal dan ramai lagi, katanya.

"Kami amat berbangga kerana produk kami turut dibekalkan untuk dijadikan snek atlet Olimpik Tokyo dan Sukan SEA baru-baru ini.

"Buat masa ini pasaran kami tertumpu dalam Malaysia, Brunei dan Singapura yang masih dalam skala kecil," katanya.

HR juga mendapat bantuan mesin dan peralatan daripada SIRIM Bhd, katanya.

Jazrul berkata pihaknya amat mengharapkan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan untuk mengembangkan empayar perniagaan ke Indonesia dan Timur Tengah dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Selain meluaskan perniagaan, saya juga ingin membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan," katanya yang kini mempunyai lima pekerja wanita tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 6:00 AM