NUR Najihah menunjukkan produk Samkijo.
NUR Najihah menunjukkan produk Samkijo.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Glowsy Empire, syarikat pengeluar sambal kicap Johor (Samkijo) di bawah jenama Jea Najihah's Kitchen komited untuk membawa produknya menembusi pasaran luar negara menjelang 2023.

Pengasasnya, Nur Najihah Kardi berkata, pihaknya membuat pembungkusan dan penjenamaan semula Samkijo bagi melepasi standard pasaran antarabangsa.

Katanya, antara negara yang disasarkan Australia, Arab Saudi dan United Kingdom, di mana di negara terbabit ramai rakyat Malaysia mahukan produk tempatan. 

"Kami sedang berusaha ke arah eksport dan disebabkan itu syarikat giat berusaha menambah kapasiti pengeluaran memandangkan sekarang dapur utama hanya mampu mengeluarkan 1,000 botol sambal dalam seminggu.

"Kami akan memfokus dulu pasaran Malaysia kerana sambutan Samkijo ini begitu memberangsangkan, lebih-lebih lagi ia resipi keluarga saya dan menggunakan bahan mentah premium.

"Bagi pasaran tempatan, kami menyasarkan menjual 10,000 botol Samkijo dalam tempoh setahun," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Samkijo Jea Najihah's Kitchen ini tiada bahan pengawet dan berbeza dengan yang terdapat di pasaran.

Nur Najihah berkata, setakat ini, syarikat berjaya menjual sekitar 500 hingga 800 botol sambal seminggu dan Samkijo dijual pada harga RM24.90 (240 gram).

"Dari segi pasaran, kami memberi tumpuan terhadap sistem ejen dan bercadang memasuki pasar raya.

"Kami baru membuka pengambilan ejen dengan dua jenis pakej ditawarkan iaitu A modal sebanyak RM250 dan B (RM840) dan mempelawa suri rumah atau kaum wanita yang ingin menjana pendapatan sampingan untuk bersama Jea Najihah's Kitchen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 7:01 AM