MUHAMAD Saiful  Zhafri (kiri) melihat kakitangannya memberi rawatan kepada pesakit lumpuh sebelah badan secara manual di Klinik Pakar Terapi Manual Physiomobile di Shah Alam. Gambar NSTP/OWEE AH CHUN.
MUHAMAD Saiful Zhafri (kiri) melihat kakitangannya memberi rawatan kepada pesakit lumpuh sebelah badan secara manual di Klinik Pakar Terapi Manual Physiomobile di Shah Alam. Gambar NSTP/OWEE AH CHUN.
Sri Ayu Kartika Amri


Shah Alam: PMMY Group Sdn Bhd menyasarkan untuk membuka 15 lagi cawangan Physiomobile menjelang tahun depan berbanding 10 cawangan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Saiful Zhafri Mohd Shahidan berkata, sebagai pusat pakar rawatan terapi manual, Physiomobile terus mendapat perhatian pengguna.

Katanya, syarikat memperkenalkan konsep perniagaan francais bagi membuka cawangan Physiomobile dengan modal RM350,000 hingga RM400,000, anggaran pulangan pelaburan (ROI), dua tahun.

"Physiomobile mula diperkenalkan pada Ogos 2016 dan sehingga kini kami mempunyai 10 cawangan iaitu sekitar Lembah Klang serta Johor dan Melaka.

"Tahun depan, kami akan buka 15 cawangan lagi dengan lokasi di Lembah Klang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

"Ketika ini kami melatih ahli terapi yang mana semuanya perlu mempunyai kelayakan minimum diploma atau ijazah dalam bidang fisioterapi untuk diserapkan ke cawangan baru di bawah skim francais," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, konsep terapi manual yang popular di negara maju yang diketengahkan di Physiomobile menerima maklum balas positif daripada pesakit.

Muhamad Saiful berkata, pihaknya mempunyai data dan kajian membolehkan Physiomobile lebih peka dengan keadaan setiap pesakit dan mencadangkan rawatan paling sesuai untuk mereka.

"Setiap satu sesi bermula dari RM160 dan kami turut menyediakan pakej serendah RM95.

"Selain itu, ramai yang menunjukkan minat menjadi francaisi dan kami menyasarkan Physiomobile akan berada di pasaran rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

"Kami juga merancang untuk menembusi pasaran Indonesia sama ada tahun depan atau 2023 kerana di sana sudah ada pelabur yang berminat.

"Bagi mereka yang ingin menjadi francaisi Physiomobile jangan risau kerana pembiayaan akan dibantu oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas)," katanya.

Beliau berkata, sekiranya semua berjalan seperti dirancang, pihaknya menyasarkan untuk tersenarai di Bursa Malaysia menjelang 2030.

Usahawan PKS dijemput menyertai komuniti sokongan perniagaan dan mendaftar sebagai AhliUSB di www.omniausb.com.my atau hubungi 013-717 2858.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 7:00 AM