KAWASAN KONSERVASI KANYON IMBAK
KAWASAN KONSERVASI KANYON IMBAK
Hartini Mohd Nawi


SEBAIK ditugaskan mengikuti lawatan media ke Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) anjuran Yayasan Petronas dan Yayasan Sabah, baru-baru ini, beberapa maklumat dikumpul sebagai persediaan awal.

Sudah tentu ia membawa gambaran lokasi yang cukup unik untuk diterokai hingga membawa kami terbang jauh dari Kuala Lumpur ke Tongod, Sabah.

Melengkapkan warna-warni tugasan, 35 pengamal media termasuk dari Borneo, kakitangan Petronas dan Yayasan Sabah menyahut cabaran meredah perjalanan dari Kota Kinabalu ke ICCA yang mengambil masa lebih sembilan jam.

Laluan perjalanan menggunakan 11 pacuan empat roda yang dicatatkan sejauh kira-kira 300 kilometer (km) iaitu 250km merentasi Telupid dan Tongod sebelum semangat benar-benar teruji sebaik melalui 50km laluan berbatu.

Bermula dari itu, tiada liputan data dan telekomunikasi hingga memasuki awal malam sebaik tiba di Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC).

KEMUDAHAN penginapan selesa disediakan di ICSC.
KEMUDAHAN penginapan selesa disediakan di ICSC.


ICSC adalah hutan hujan dara berkeluasan 27 hektar terletak di zon teras ICCA. Mengisi perjalanan aktiviti pada hari keempat kami di ICSC, kompleks itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Memperkatakan lebih lanjut berkenaan ICCA, kawasan konservasi itu terletak di sebelah utara Kawasan Konservasi Lembangan Maliau dan di tengah-tengah pedalaman Sabah.

Menerusi keluasan 27,599 hektar ini merangkumi pelbagai habitat hutan hujan di kawasan lembah sepanjang 25 kilometer.

Kawasan ini dikelilingi rabung batu pasir di ketiga-tiga sisinya. Kebanyakan puncak rabung itu melebihi 1,000 meter dengan puncak tertinggi Gunung Kuli yang mencapai 1,527 meter.

Menurut Pengurus Kumpulan Bahagian Pengurusan Alam Sekitar & Konservasi, Yayasan Sabah, Dr Yap Sau Wai, asalnya ICCA adalah sebahagian daripada Kawasan Konsesi Yayasan Sabah.

SESEKALI laluan kami berdepan anak sungai.
SESEKALI laluan kami berdepan anak sungai.

HAIWAN ini mungkin jarang anda temui tanpa menjadi penghuni di ICCA.
HAIWAN ini mungkin jarang anda temui tanpa menjadi penghuni di ICCA.

“Pada 2003, Kumpulan Yayasan Sabah secara sukarela menetapkan ICCA sebagai kawasan konservasi untuk penyelidikan, pendidikan, latihan dan rekreasi.

“Dinaik taraf sebagai Hutan Simpanan Kelas 1 (Perlindungan) oleh Dewan Undangan Negeri Sabah pada 2009, justifikasi untuk perlindungan kawasan unik ini termasuk keunikan biodiversiti.

“Ia turut membabitkan kepelbagaian botani, geologi termasuk pemandangan indah semula jadi ke kawasan ini, ilmu pengetahuan dan kemahiran berkenaan hutan yang dimiliki komuniti yang tinggal berdekatan selain masih belum didokumentasi sepenuhnya,” kata Dr Yap.

Meneliti landskap dan pemandangan indahnya, ICCA terdiri daripada gabungan hutan pamah hingga hutan gunung tanah rendah diselang-selikan dengan tiga air terjun indah iaitu air terjun Kuli, Maya dan Imbak yang mempunyai kepentingan serta nilai di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Dari segi flora pula, ICCA kaya dengan biodiversiti tumbuhan dengan lebih 600 spesies yang direkodkan setakat ini.

AKAR menjalar ini membuktikan ICCA kaya dengan khazanah alamnya.
AKAR menjalar ini membuktikan ICCA kaya dengan khazanah alamnya.

KEINDAHAN air terjun memukau sesiapa yang melihat.
KEINDAHAN air terjun memukau sesiapa yang melihat.

Susulan daripada ekspedisi pada 2004, dirumuskan terdapat 317 spesies tumbuhan atau kepelbagaian (mewakili 84 keluarga dan 185 genera) sudah dikenal pasti di ICCA.

“Ini memberi petunjuk bahawa terdapat banyak jenis keluarga tumbuhan di kawasan ini. Angka ini kini melebihi 600 dan dijangka terus meningkat kepada jumlah yang lebih tinggi.

“Antaranya, periuk kera Nepenthes hirsuta dan Rafflesia. Terdapat 52 genera yang mengagumkan dan 196 spesies orkid direkodkan.

“20 spesies adalah rekod baru untuk Sabah dan 28 daripadanya dikenal pasti sebagai endemik kepada Borneo termasuk spesies baru Dendrobium jamirusii,” katanya yang mengakui ICCA juga antara tapak yang berpotensi untuk kajian evolusi zingiberacae (keluarga halia).

Tidak dinafikan, ada juga spesies mamalia di ICCA antaranya orang utan, monyet belanda, tembadau dan gajah pigmi Borneo.

“Sebanyak 82 spesies mamalia dan 242 spesies burung direkodkan setakat ini. Selain enam spesies pitta, lapan spesies burung enggang Borneo serta 20 spesies burung sambar.

DR Yap (kanan) sedang memberi penerangan kepada media berkenaan ICCA.
DR Yap (kanan) sedang memberi penerangan kepada media berkenaan ICCA.

AIR terjun Imbak menggamit kunjungan anda.
AIR terjun Imbak menggamit kunjungan anda.

“Pada masa sama, ICCA sangat penting untuk pemuliharaan karnivor seperti harimau dahan. Tidak ketinggalan, 22 spesies ikan air tawar direkodkan di pusat konservasi ini,” kata Dr Yap.

Uniknya, tidak ada masyarakat yang tinggal di dalam ICCA. Kampung yang terdekat adalah Kampung Imbak dengan jarak 30 kilometer atau lebih kurang 90 minit masa perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke ICCA.

PENULIS terpegun ketinggian dan saiz pokok belian antara terbesar itu.
PENULIS terpegun ketinggian dan saiz pokok belian antara terbesar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 11:36 AM