SOLAT Tarawih di kolej kediaman satu pengalaman menarik.
SOLAT Tarawih di kolej kediaman satu pengalaman menarik.
PUASA kadangkala menjadikan badan letih untuk mengulang kaji pelajaran.
PUASA kadangkala menjadikan badan letih untuk mengulang kaji pelajaran.
PENGALAMAN di kampus pasti berbeza khususnya menjelang Ramadan.
PENGALAMAN di kampus pasti berbeza khususnya menjelang Ramadan.
Fazurawati Che Lah


Hari ini sudah masuk hari kelima umat Islam menjalani rukun Islam keempat iaitu berpuasa Ramadan.

Kedatangan bulan mulia ini tidak menjadi penghalang kepada penuntut Islam di institusi pengajian tinggi (IPT) menjalani ibadat puasa meskipun terpaksa ke dewan kuliah dan menelaah pelajaran.

Kebanyakan siswa tidak berdepan masalah meskipun rutin harian sedikit berbeza, malah menganggap pengalaman berpuasa di kampus sesuatu yang menyeronokkan.

Puasa kali ini menyaksikan kebanyakan IPT sedang cuti minggu ulang kaji. Oleh itu, penuntut banyak menghabiskan masa di kolej kediaman untuk persediaan peperiksaan.

Bagi penuntut Ukur Bahan Universiti Malaya (UM), Norsafiqkah Nordin, 22, tahun ini adalah kali pertama dia menjalani ibadat puasa di kampus itu dan tentunya memberikan pengalaman berbeza.

Katanya, berikutan cuti minggu ulang kaji jatuh pada Ramadan, dia banyak mengisi masa lapang di kolej kediaman untuk persediaan peperiksaan sebelum Aidilfitri nanti.

“Disebabkan kuliah sudah tamat bagi semester ini, saya cuma menumpukan kepada aktiviti mengulang kaji saja.

“Puasa langsung tidak menghalang, jadi saya boleh tumpukan kepada ulang kaji saja selepas Subuh kerana tidak perlu fikir untuk makan.

“Masa lapang ini juga membolehkan saya berjumpa pensyarah untuk bertanya topik yang kurang faham,” katanya.

Katanya, berpuasa di kampus lebih seronok kerana dapat berbuka, solat Tarawih dan bertadarus al-Quran bersama rakan.

“Hanya waktu ini kami berkesempatan berkumpul, pada bulan lain kami membawa haluan masing-masing disebabkan jadual waktu berbeza,” katanya.

Pelajar tahun tiga Kejuruteraan Alam Sekitar, Muhammad Fawwaz Hayat Azhar, 22, pula berkata, berikutan Ramadan kali ini jatuh pada minggu ulang kaji membolehkannya menyusun jadual menelaah pada sebelah pagi kerana tidak perlu ke kuliah.

“Memandangkan rumah keluarga dekat dengan kampus, saya pulang berpuasa pada hari pertama hingga hari ketiga. Selebihnya saya akan pulang ke kolej kediaman untuk berpuasa bersama rakan.

“Lagipun, peperiksaan akhir akan berlangsung dalam seminggu lagi, jadi saya lebih mengutamakan ulang kaji pada sebelah pagi supaya boleh menunaikan solat Tarawih di masjid,” katanya.

Katanya, biarpun ada berpendapat menelaah pada bulan puasa agak sukar, baginya situasi itu banyak membantu.

“Saya ada banyak masa dan hanya perlu berada di kolej kediaman. Kesempatan ini saya gunakan untuk melakukan ulang kaji dan ia lebih mudah kerana tidak perlu terkejar-kejar ke dewan kuliah,” katanya.

Lain pula bagi penuntut dari Indonesia, Syifa Busyra, 21, yang mengakui rindu untuk meraikan bulan mulia itu bersama keluarga di Aceh kerana kali ini tahun kedua dia berpuasa di kampus.

Malah dia tidak menafikan mengalami kejutan budaya ketika pertama kali berdepan situasi itu kerana tahun lalu juga dia berpuasa tanpa perlu ke kuliah.

“Memang janggal kerana seharian duduk di asrama (kolej kediaman), tapi puasa kali ini saya sudah melakukan persediaan bagi mengelak rasa bosan.

“Tahun ini dan tahun lalu situasi sama, jadi saya sudah rancang untuk menelaah selama dua jam sebelum rehat dan sambung pula hingga hampir waktu berbuka,” katanya yang memasak untuk juadah sahur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 1:32 PM