Hafiz Ithnin

Sunway Lagoon menawarkan aktiviti percutian keluarga yang menarik terutama kanak-kanak bagi melihat sendiri anak harimau putih yang dilahirkan di Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor iaitu Sam dan Elsa yang berusia empat bulan.

Anak kepada pasangan harimau Samson dan Asha yang berbulu putih serta mata biru itu dipelihara dalam taman hidupan liar berkenaan sejak Ogos 2016.

Kini haiwan itu bersedia untuk beraksi di hadapan pengunjung sempena kempen menerokai hidupan liar, Walk & Hunt yang berlangsung pada 17 hingga 25 Mac ini.

Kedua-dua anak harimau putih itu mempunyai gelagat dan rupa yang sedikit berbeza. Sam mempunyai jalur yang lebih padat di dahi, aktif bermain serta kelihatan lebih penyayang.

Sementara Elsa pula suka menyelinap dari di belakang dan aktif meneroka perkara baru.

SUNWAY Lagoon menawarkan dua anak harimau putih untuk dipersembahkan kepada pengunjung.
SUNWAY Lagoon menawarkan dua anak harimau putih untuk dipersembahkan kepada pengunjung.

Orang ramai berpeluang melihat keletah kedua-dua anak harimau itu ketika cuti sekolah pada jam 10.30 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.30 petang.

Walk & Hunt pula mempunyai pelbagai aktiviti lain yang interaktif seperti memburu maklumat berkenaan hidupan liar dengan menyertai teka teki.

Selain merakamkan gambar yang sekali gus memperluaskan pengetahuan orang ramai berkenaan hidupan itu.

Selepas menyertai aktiviti berkenaan, pengunjung diberikan sijil penyertaan selain melihat persembahan haiwan pada acara Wildlife Theatre’s Wildlife Multi-Animal Show.

Tetamu juga boleh mengambil kesempatan untuk membawa pulang barangan bertemakan hidupan liar sebagai sebahagian daripada kenangan ketika cuti sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:00 AM