ABDILLAH, Umi Kalsom dan Usharani gembira menjadi kakitangan Domino’s Pizza Malaysia.
ABDILLAH, Umi Kalsom dan Usharani gembira menjadi kakitangan Domino’s Pizza Malaysia.

Tidak pernah berkira malahan begitu komited dan ikhlas melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Itu adalah rahsia kejayaan tiga kakitangan cemerlang Domino’s Pizza Malaysia sehingga menerima pelbagai anugerah serta penghargaan daripada syarikat terbabit termasuk bertaraf antarabangsa.

Mereka ialah Abdillah Abdul Shukor iaitu Pengurus Operasi Domino’s Pizza Malaysia, Usharani Govalin sebagai Penolong Pengurus Jaminan Kualiti di Ibu Pejabat Domino’s Pizza Malaysia di Glenmarie dan Umi Kalsom Selamat adalah Pengurus Restoran Domino’s Pizza Malaysia di Ambang Botanic, Klang.

Penulis berpeluang bertemu dengan ketiga-tiga kakitangan itu untuk berkongsi lanjut rahsia kejayaan yang turut membuatkan penulis terinspirasi dengan semangat mereka.

Apa yang boleh dikatakan mereka adalah orang hebat kerana mempunyai semangat ‘gila kerja’ cukup luar biasa walaupun masing-masing memiliki kisah tersendiri sebelum berada pada kedudukan hari ini.

Abdillah berkata, beliau memulakan kerjaya di syarikat makanan segera terkenal itu bermula daripada peringkat bawahan iaitu sebagai penghantar piza sambilan selama dua tahun.

“Ketika itu, saya masih penuntut Diploma Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi MARA dan melakukan pekerjaan berkenaan kerana ingin mencari duit tambahan selain menimba pengalaman.

“Tamat pengajian, saya bekerja dalam bidang kejuruteraan hampir dua tahun dan kemudian meletak jawatan kerana jiwa lebih selesa bekerja di Domino’s Pizza,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, dengan keputusan nekad beliau kembali semula bekerja Domino’s Pizza sebagai pengurus pelatih sebelum dinaikkan pangkat kepada pengurus restoran.

“Kecekapan menguruskan dan memajukan semula restoran cawangan bermasalah membolehkan saya diberi kepercayaan syarikat memikul tanggungjawab lebih besar.

“Alhamdulillah saya berjaya dan dinaikkan pangkat kepada pengurus restoran kanan, pengurus daerah, penolong pengurus operasi dan sehinggalah jawatan hari ini,” katanya.

Beliau yang sudah 11 tahun berkhidmat di Domino’s Pizza Malaysia menerima lebih 10 anugerah termasuk Anugerah Jualan Terbaik 2015.

Katanya, beliau menganggap syarikat itu bukan hanya tempat untuk bekerja tetapi juga sebuah ‘universiti’ yang memberi pelbagai ilmu termasuk kehidupan.

Tidak kurang hebatnya perjalanan karier Umi Kalsom, walaupun tidak memiliki ijazah tetapi mampu membuktikannya boleh berjaya.

“Kita perlu berusaha dan rajin untuk berubah, jika tidak, tiada kemajuan diri yang akan dicapai.

“Saya sangat komited dengan kerja, jika kerja syif pagi, sebelah malam akan datang semula ke restoran untuk pemeriksaan dan memastikan kakitangan mengikut piawaian ditetapkan,”katanya.

Katanya, beliau menyertai syarikat itu pada 2013 dan dua tahun kemudian diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengurus restoran.

“Saya tidak sangka diberikan pengiktirafan oleh syarikat pengurus Domino’s Pizza Malaysis yang pertama menerima Anugerah International Manager of The Year.

“Saya juga terima dua anugerah lain yang memberi inspirasi untuk bekerja lebih gigih,” katanya.

Bagi Usharani pula, menjadi antara pekerja paling lama dengan 18 tahun berkhidmat di syarikat terbabit pengalaman indah dalam hidupnya.

“Diberikan beberapa anugerah adalah sesuatu tidak dijangka kerana apa yang saya lakukan hanya kerana melaksanakan tanggungjawab.

“Saya sangat gembira kerana dapat membantu meningkatkan jualan piza dan diberikan dua anugerah iaitu Highest AWUS Growth pada 2003 dan Trailblazer Award (International),” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Kongers Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC) N Gopal Krisnan ketika dihubungi Nuansa berkata, kelebihan kemudahan disediakan syarikat menjadi faktor utama mempengaruhi kakitangan untuk kekal bekerja lama di sesebuah organisasi.

“Dengan kemudahan itu membuatkan pekerja berasa mereka dihargai dan tidak berkira untuk bekerja dengan penuh komitmen.

“Begitu juga pemberian penghargaan seperti anugerah kecemerlangan tidak perlu diukur berdasarkan tempoh lama seseorang kakitangan itu berkhidmat dalam syarikat,” katanya.

Katanya, semua aspek itu akan dinilai bakal pekerja sebelum bekerja di syarikat terbabit. -Nor 'Asyikin Mat Hayin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 11:34 AM