SAUDARA-mara Bagdat berkumpul menyambut hari raya.
SAUDARA-mara Bagdat berkumpul menyambut hari raya.
Mohamad Hussin

“Sambutan Aidilfitri di sini tidak semeriah macam di Malaysia. Biasanya pagi 1 Syawal kami sekeluarga akan ke masjid untuk menunaikan solat sunat.

“Selepas selesai solat, kami akan mengunjungi rumah sanak saudara terdekat,” kata Bagdat Kuandyk, 23, penduduk Kazakhstan menceritakan suasana raya di negara berkenaan.

Beliau yang berasal dari bandar Aktau, Wilayah Mangistau kini menetap di Astana, Kazakhstan kerana bekerja di ibu kota itu selepas tamat pengajian.

Menurutnya, jarak perjalanan kira-kira 2,000 kilometer (km) dari kampungnya ke Astana mengambil masa selama dua hari untuk sampai melalui jalan darat.

“Kami tidak meraikan sangat Aidilfitri berbanding Aidiladha. Biasanya tiada cuti umum pada Aidilfitri. Juadah utama yang dihidangkan ialah beshbarmak.

“Ia makanan tradisional masyarakat Kazakhstan yang dicampur dengan daging kuda atau lembu yang dijadikan sosej. Beshbarmak dihidangkan bersama rebusan pasta.

“Beshbarmak bermaksud lima jari, dihidangkan dalam dulang dan dimakan menggunakan tangan melambangkan keakraban di antara tuan rumah dengan tetamu,” katanya yang ketika ditemui di Astana, Kazakhstan, baru-baru ini.

Bagdat antara urusetia bertugas di Ekspo Astana 2017 yang sedang berlangsung selama tiga bulan sehingga September ini.

Katanya, biasanya pada pagi raya bapa, Missa Kuandyk, 52, dan ibu, Gulzira Kuandykova, 48, serta kakak, Ayan, 25, akan berkumpul di rumah saudara-mara.

“Pada sebelah petang kami akan pulang ke rumah masing-masing dan menjalankan kehidupan harian seperti biasa. Kehangatan tidak terasa sangat berbanding raya haji,” katanya.

Anak kedua daripada dua beradik itu berkata, mereka tidak menggayakan pakaian baru atau tradisional kerana hanya berpakaian harian seperti biasa.

Dia yang pernah melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Semenyih, Selangor, dalam bidang bahasa Inggeris selama tiga tahun terpegun dengan sambutan hari raya di Malaysia.

“Saya kagum dengan budaya masyarakat Malaysia yang meraikan perayaan Aidilfitri dengan meriah. Pelbagai hidangan disediakan untuk menjamu tetamu.

“Apa yang menarik di Malaysia menyambut Syawal selama sebulan sekali gus dapat menziarahi saudara-mara dan kenalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 12:32 PM