KENDERAAN pacuan empat roda melalui jalan berbukit, tidak rata, berlecak, tanah merah, belukar, kawasan pembalakan dan anak sungai untuk tiba ke destinasi.
KENDERAAN pacuan empat roda melalui jalan berbukit, tidak rata, berlecak, tanah merah, belukar, kawasan pembalakan dan anak sungai untuk tiba ke destinasi.
PENDAKWAH menggunakan bot menuju ke Kampung Silungai.
PENDAKWAH menggunakan bot menuju ke Kampung Silungai.
ABDUL Hanif menyampaikan ucapan dan beramah mesra bersama penduduk Kampung Pagar-Pagar di Musolla As-Syahadah.
ABDUL Hanif menyampaikan ucapan dan beramah mesra bersama penduduk Kampung Pagar-Pagar di Musolla As-Syahadah.
KANAK-KANAK Kampung Mansiat gembira ketika diberikan gula-gula.
KANAK-KANAK Kampung Mansiat gembira ketika diberikan gula-gula.
KUMPULAN pendakwah merakamkan gambar kenang-kenangan di hadapan Masjid Syahadatul Muttaqin, Pensiangan.
KUMPULAN pendakwah merakamkan gambar kenang-kenangan di hadapan Masjid Syahadatul Muttaqin, Pensiangan.
Oleh Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi


Mereka terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh 180 kilometer selama empat jam mengharungi jalan sempit, bukit bukau, belukar, simpang-siur jalan tidak berturap, kawasan pembalakan dan tanah merah.

Tidak cukup dengan cabaran berkenaan, mereka kemudian perlu meredah anak sungai dan mengharungi arus air deras menggunakan bot.

Itulah cabaran yang perlu dihadapi rombongan pendakwah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) untuk menziarahi penduduk Kampung Silungai dekat Keningau, Sabah, baru-baru ini.

Program Ziarah Silaturahim Bersama Komuniti Pedalaman Sabah‘ itu meliputi beberapa lokasi di Keningau iaitu Kampung Sook, Kampung Silungai, Kampung Pagar-Pagar, Kampung Padang serta Sapulut, Pensiangan dan Mansiang.

Ia disertai 30 kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Selangor dan Johor, Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pendakwah Pedalaman Sabah, Kembara As-Syahadah dan kumpulan nasyid As-Syahadah.

Penyelaras Program Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan berkata, kunjungan berkenaan susulan daripada dua program sebelum itu, iaitu Ekspedisi Ziarah Syahadah Di Bumi Sabah pada Januari 2014 dan Program Ziarah Kasih Saudara Muslim Sabah pada Mac tahun sama.

“Peserta menjalankan kerja dakwah susulan di kawasan berkenaan selain menjalinkan silaturahim bersama penduduk serta meninjau pendekatan dan perkembangan dakwah Sahabat PERKIM di kampung terbabit,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan bermula dari Kota Kinabalu itu perlu melalui beberapa tempat iaitu Kinarut, Papar, Kampung Langkawit, Kampung Kelatuan, Banjaran Crocker, Kimanis, Keningau sebelum tiba di Kampung Silungai.

“Sebaik tiba kami beramah mesra dengan penduduk kampung sambil mengenali sejarah kawasan itu dan menyampaikan sumbangan makanan,” kata Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan PERKIM Abdul Hanif Harun.

Perjalanan kemudian diteruskan selama dua jam lagi ke Kampung Sinua di kaki Gunung Trusmadi.

Abdul Hanif berkata, pendakwah perlu melalui Kampung Delayan, Kampung Kiulu Baru, Kampung Pauh, Kampung Kindasan, Kampung Batu Lunguyan, Kampung Pinipi, Kampung Tulid Kampung Tuawon dan Kampung Mempisas untuk ke Kampung Sinua.

Di Kampung Sinua, rombongan bertemu keluarga Tayban Sinan, 20, yang memeluk Islam tiga bulan lalu dan masih memerlukan bimbingan serta didikan agama.

Tayban yang berketurunan Bajau turut menerima sumbangan makanan dan wang zakat, manakala beberapa keluarga lain menerima beras, tepung, minyak, gula, teh serta sardin.

Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Kampung Kilo Lanas, Sook untuk menziarahi Muda @ Terdi Klumpang.

Penduduk Kampung Sinulihan Baru turut gembira menyambut kedatangan rombongan ziarah dan sempat berbual mesra ketika singgah menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Babur Rahman.

Sementara itu, Pendakwah Pedalaman Sabah Mohd Fadli Yusof berkata, misi utama program itu untuk menyebarkan Islam kepada seluruh manusia.

“Ia sebagaimana pesan Rasulullah kepada Muaz bin Jabal: „Wahai Muaz, kamu akan pergi ke suatu negeri (Yaman) yang di sana ramai ahlul kitab (Yahudi) serta (Nasrani) dan ajaklah mereka agar mereka beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW,” katanya

Pembinaan Masjid Babur Rahman pada tahun 2001 adalah hasil ziarah dan dakwah Mohd Fadli dan isteri, Aisyah Nordin kepada penduduk Kampung Sinulihan Baru sejak 1990.

Sejak PERKIM menyertai program itu pada Januari 2014, seramai 271 orang memeluk Islam. Hasil gerakan dakwah dalam tempoh 21 bulan kemudian, jumlah mereka yang memeluk Islam meningkat kepada 491 orang.

Semua mualaf terbabit dipantau untuk mengukuhkan akidah, iman, selain bimbingan ibadat dan kebajikan terjamin.

Rombongan seterusnya singgah bermalam di Kampung Padang Inirwanan, Sepulut di daerah Nabawan. Untuk ke situ, mereka perlu melalui beberapa kawasan seperti Kampung Bahagia, Pekan Nabawan dan Kampung Tetagas.

Menurut Mohd Fadli, kampung itu mempunyai 83 keluarga yang menghuni 25 rumah dengan 87 peratus berbangsa Murut manakala 13 peratus lagi keturunan lain.

Majoriti penduduk bekerja sebagai petani, pekebun, nelayan sungai, mencari hasil hutan, menebang kayu balak dan pemandu kereta pacuan empat roda.

Mereka juga perlu menyeberang ke kampung jiran dengan menggunakan jambatan gantung sepanjang 400 meter dan merentasi pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Penawan dan Sungai Telangkai.

Perjalanan ke Pensiangan diteruskan sambil dihiburkan pendakwah daripada kumpulan nasyid As-Syahadah yang berasal daripada Kota Kinabalu.

Rombongan ditempatkan di Masjid Syahadatul Muttaqin, Pensiangan yang tercetus daripada keinginan penduduk kampung memerlukan tempat luas untuk bersolat kerana umat Islam makin bertambah.

Destinasi seterusnya ke Kampung Mansiang Baru di daerah Sook, 12 kilometer dari bandar Keningau.

Kampung itu mempunyai 150 penduduk, 30 peratus daripadanya Islam yang diketuai Abdul Manan Abdullah Wong yang memeluk Islam pada 22 Disember 2014.

“Mansiang bermaksud banyak nama dalam bahasa Cina yang diberikan penduduk yang menerokanya,” kata Abdul Manan atau nama asalnya Wong Kim Loi, 82 tahun.

Beliau berharap sebuah surau dibina di kampung itu bagi kemudahan penduduk bersolat jemaah dan belajar agama.

Rombongan turut menyampaikan sumbangan makanan dan pakaian kepada penduduk kampung serta bersama-sama memperbaharui syahadah.

Rombongan meneruskan misi dakwah ke destinasi terakhir di Kampung Pagar-Pagar, 20 kilometer dari bandar Keningau.

Mohd Fadli yang menziarahi kampung itu pada penghujung 2013 berkata, ketika itu kampung itu belum ada penduduk Islam sehinggalah Linaun Antaim dari Sapulut memeluk Islam pada Aidilfitri 2013 dan menginap sementara di rumah birasnya, Yang Yang di Kampung Pagar-Pagar bagi memudahkan dia mendapatkan rawatan di Hospital Keningau.

Hasil dakwah Linaun atau nama Islamnya Muhammad Othman, keluarga birasnya yang terdiri daripada lima beranak memeluk Islam sebelum diikuti jiran lain. Kini sebanyak 24 keluarga di kampung itu menganut Islam.

Mereka kemudian membina tempat solat dinamakan Musolla As-Syahadah selepas menerima sumbangan yang diinfakkan umat Islam.

Majlis diserikan lagi dengan majlis pengislaman Saminggu atau nama Islamnya Kamilah Ampohol.

Mereka yang ingin menderma boleh menyalurkannya ke akaun wakaf Maybank Pusat Pembangunan As Sabah bernombor 564427506145.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 12:29 PM