BORJI (kanan) ketika menyarung jersi skuad Tok Gajah.
BORJI (kanan) ketika menyarung jersi skuad Tok Gajah.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) masih menunggu kes isu tuntutan gaji tertunggak dan pampasan bekas pemain import Mohamed Borji sebanyak AS$125,000 (RM526,000).

Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC Sdn Bhd Fahrizal Hassan berkata, setakat ini, PBNP masih menunggu rekod pengesahan semua dokumen termasuk borang C-06 (borang penamatan kontrak pemain).

Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga tidak memberi maklum balas berkaitan borang C-06 walaupun persatuan itu sudah menghantar surat kes terbabit.

“Apa yang boleh saya katakan ketika ini kami masih menunggu jawapan FAM dan menjangkakan keputusan mengenainya dapat diselesaikan minggu depan.

“Setakat ini tiada pengesahan hitam putih daripada FAM segala dokumen itu sudah diserah kepada Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sebelum ini, PBNP tetap mahu menunggu rekod pengesahan semua dokumen termasuk borang C-06 sudah dihantar kepada FIFA oleh FAM sebelum membuat sebarang tindakan.

Biarpun FAM sudah memberikan penjelasan, ia belum memuaskan hati PBNP yang menetapkan pendirian tidak akan membayar tuntutan gaji tertunggak dan pampasan kepada Borji selagi tiada rekod hitam putih urusan FAM dengan FIFA mengenai kes itu.

Berikutan itu, hukuman lebih berat disingkirkan ke Liga Perdana mewakili Pahang jika gagal membuat bayaran dalam tempoh 30 hari selepas tarikh arahan pembayaran Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 13 November 2015.

FAM menerusi kenyataan Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan semua dokumen termasuk borang C-06 sudah dihantar kepada FIFA serta sudah mengingatkan kepada PBNP mengenai hukuman bakal dikenakan jika ingkar arahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 8:23 AM