Ismail (kanan) bersama wakil dari pasukan Selangor hadir pada majlis cabutan undi peringkat kumpulan Piala AFC 2016 hari ini. Foto Bernama
Ismail (kanan) bersama wakil dari pasukan Selangor hadir pada majlis cabutan undi peringkat kumpulan Piala AFC 2016 hari ini. Foto Bernama

Petaling Jaya: Penyandang juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Johor Darul Ta'zim (JDT) mahu mencipta kejutan apabila beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) 2016 pada Feb tahun depan.

Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berharap persediaan pramusim yang sedang dilalui skuad Harimau Selatan dapat membantu mereka mencipta keputusan positif berdepan bekas juara tiga kali Liga Perdana Thailand, Muangthong United FC pada aksi kelayakan ACL di tempat lawan, 2 Feb nanti.

"Walaupun peluang melangkah ke undian utama ACL 2016 agak mustahil, saya yakin pemain dapat menampilkan satu permainan terpuji terutamanya menentang wakil Thailand itu," kata Ismail ketika ditemui selepas majlis undian Piala AFC dan ACL 2016 di sini, hari ini.

Pemenang perlawanan antara JDT dan Muangthong United FC akan berdepan wakil China, Shanghai SIPG di tempat lawan pada aksi terakhir pusingan kelayakan itu pada 9 Feb bagi menentukan pasukan yang layak ke undian utama kejohanan kelab berprestij benua Asia itu.

Sebanyak 21 kelab dari benua Asia termasuk JDT akan bersaing dalam aksi kelayakan ACL 2016 bagi menentukan slot ke undian utama kejohanan.

Mengikut peraturan pertandingan, pasukan yang layak bermain di undian utama ACL menerusi pusingan kelayakan secara automatik tidak boleh beraksi di Piala AFC, sekali gus tempat JDT akan diambil Pahang jika skuad Harimau Selatan mara ke undian utama ACL.

Sementara itu, Ismail berkata gelaran penyandang juara adalah cabaran yang perlu dihadapi skuad Harimau Selatan untuk saingan Piala AFC musim depan kerana lawan pasti mendapat semangat tambahan menundukkan juara bertahan.

Bagi saingan musim depan, JDT diundi dalam Kumpulan H bersama JSW Bengaluru FC (India), Lao Toyota FC (Laos) dan Ayeyawady United (Myanmar).

Ismail berkata kecuali Ayeyawady United dan JSW Bengaluru yang pernah menjadi lawan mereka dalam saingan Piala AFC musim ini, beliau tidak mempunyai banyak maklumat mengenai kekuatan wakil Laos itu.

"Walaupun kita tidak pernah bertemu Lao Toyota, saya tetap berharap kita dapat menyaingi corak permainan lawan itu nanti," katanya.

Bagi Ismail yang turut menjadi pengurus pasukan JDT bagi kempen Piala AFC musim depan, apa yang penting adalah pemain skuad Harimau Selatan tidak memandang rendah kekuatan ketiga-tiga lawan itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:58 PM