Syarul anggap tuduhan terhadap disiplin tidak berasas.
Syarul anggap tuduhan terhadap disiplin tidak berasas.
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Pelakon Syarul Ridzwan, 26, menafikan dakwaan dia tidak berdisiplin hingga menjejaskan kelancaran promosi dan latihan teater Bawang Putih Bawang Merah yang kini dipentaskan di Istana Budaya di sini, bermula semalam hingga Ahad ini.

Syarul atau nama sebenarnya Mohd Syarul Ridzwan Hashim ketika dihubungi berkata, tuduhan tidak berasas itu hanyalah dakwaan yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang iri hati dengannya.

Menurutnya, tidak mungkin dia akan berbuat demikian kerana menghargai peluang yang diberikan pengarah Erma Fatima untuk berganding dengan pelakon-pelakon hebat dalam teater itu.

"Saya sendiri amat bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan. Saya pelakon baru, peluang dapat berkongsi pentas Apa lagi dengan pelakon hebat seperti kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud), Nabila Huda dan Beto Kusyairi amat saya hargai. Jadi tak mungkin saya hendak main-main.

“Sebagai pelakon, saya mementingkan kualiti dan komitmen. Orang boleh bercakap saja tapi apa buktinya?

"Seingat saya dari awal pembabitan lagi, saya jaga komitmen terhadap teater ini. Tak pernah pula saya lambat untuk promosi atau latihan seperti didakwa," katanya.

Sumber daripada produksi teater berkenaan mendakwa Syarul sering lewat untuk sesi latihan teater itu dan tidak memberikan komitmen yang diharapkan sejak awal lagi.

Malah, pelakon yang popular dengan drama Hati Perempuan itu juga didakwa lewat tiba untuk promosi teater itu dalam sebuah rancangan hiburan.

Isu disiplin membabitkan Syarul bukan kali pertama diperkatakan. Sebelum ini, dia turut didakwa menimbulkan masalah di beberapa set penggambaran drama dibintanginya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 7:58 PM