Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Dugaan yang datang apabila disahkan menghidap kanser tahap dua pastinya memberi tamparan hebat buat sesiapa saja termasuk kepada anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang ini.

Namun, tidak semua dugaan diterima menyebabkan individu itu lemah dan terus jatuh kerana sekiranya dugaan itu dapat ditangani dengan betul, pasti sinar kegembiraan yang lebih besar menanti.

Bagi Dr Mukhlis Idris, 32, ujian dirinya selepas disahkan menghidap kanser kelenjar sehingga memaksanya meninggalkan kerjaya tetap sebagai seorang doktor perubatan menjadi faktor utama dia lebih berani.

“Saya disahkan menghidap kanser pada penghujung 2010 iaitu ketika saya baru berkhidmat empat bulan sebagai doktor di Hospital Selayang.

“Bohonglah jika saya katakan saya tidak sedih untuk menerima kenyataan itu kerana saya bukan saja menghidap kanser, malah terpaksa berhenti daripada bekerja kerana perlu melawan kanser terbabit,” katanya.

Dr Mukhlis perlu melakukan 19 kali kemoterapi dan pelbagai rawatan bagi melawan kanser dihidapinya itu me­nyebabkan dia tidak boleh bekerja.

“Keluarga dan rakan-rakan banyak memberi semangat kepada saya untuk terus kuat dalam melawan kanser ini dan syukur segalanya berjalan lancar.

“Namun saya akui, kesedihan pasti ada kerana saya terpaksa meninggalkan bidang yang saya minati dan saya juga graduan dalam bidang perubatan,” ujarnya.

Menurut Dr Mukhlis yang juga graduan Universiti Cardiff, United Kingdom dalam bidang perubatan dan pembedahan, dalam kesibukan dirinya melawan penyakit berkenaan, dia meneruskan hobi mewarna serta melukis yang diminati sejak kecil bagi mengisi masa terluangnya.

Daripada perubatan kepada solekan

Siapa sangka seorang lelaki yang berkecimpung dalam bidang perubatan pada hakikatnya mempunyai bakat terpendam dalam bidang seni andaman dan solekan.

“Dalam kesibukan saya melawan kanser, saya meneruskan hobi mewarna serta melukis hinggakan saya mula meminati bidang andaman yang ternyata mempunyai kaitan dengan hobi saya kerana saya suka sesuatu yang kelihatan cantik.

“Bermula dari situ, saya banyak berkawan dengan jurumekap profesional serta mempelajari teknik solekan betul bagi meneruskan minat ini secara lebih serius,” katanya.

Dr Mukhlis berkata, bukan mudah pada hakikatnya untuk dirinya memulakan suatu kerjaya yang dianggap asing kerana dia tidak mempunyai pengalaman mahupun teknik asas melakukan solekan serta dandanan rambut.

“Apa yang saya lakukan adalah banyak bergaul dengan jurumekap profesional, melayari YouTube untuk menambah ilmu solekan dan hiasan rambut serta mempelajari teknik betul solekan.

“Pada awalnya, ramai yang mempertikaikan kerjaya saya kini kerana diang­gap sangat terpesong daripada landasan sepatutnya. Namun saya yakin apa yang saya lakukan kini dengan bergelar seorang jurumekap membuatkan saya lebih gembira dan ia secara tidak langsung membantu proses penyembuhan kanser saya,” ujarnya.

Menurutnya, selain itu, dia juga menghadapi sedikit cabaran dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan termasuk artis tempatan mengenai kualiti andamannya.

“Saya mengetengahkan konsep ‘less is more’ dan minimalis dalam setiap solekan serta dandanan rambut. Syukur solekan saya semakin mendapat kepercayaan pelanggan termasuk beberapa artis tempatan dan saya juga diterima dalam bidang ini.

“Saya akui seseorang itu perlu kuat berusaha untuk mendapatkan sesuatu dalam hidup dan disebabkan itu, saya yakin saya juga boleh berjaya dalam bidang yang diceburi kini,” katanya yang juga anak ketiga daripada empat beradik.

Dr Mukhlis yang gemar menghabiskan masa terluangnya dengan bermain piano berkata, disiplin diri yang amat tinggi selain sentiasa fokus dalam apa juga perkara dilakukannya menjadi teras kehidupannya.

“Syukur, bakat melukis dan mewarna yang dianugerahkan kepada saya sejak kecil banyak membantu dalam menjalani kehidupan bergelar jurusolek kini.

“Pendirian diri saya yang agak unik iaitu untuk sentiasa kelihatan berlainan daripada orang lain menyebabkan saya lebih berani mencuba konsep solekan yang berlainan dengan tema solekan kini,” ujarnya yang kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, dia tidak sesekali mudah berputus asa selain sentiasa mencari kelainan dalam menghasilkan solekan yang nampak luar biasa.

“Setiap bidang yang diceburi itu pasti ada dugaannya dan saya tidak sesekali menyesal dengan pilihan yang saya lakukan ini di samping terus menjalani kehidupan dengan lebih gembira dan berkualiti.

“Disebabkan mahu sentiasa menghasilkan yang terbaik, saya tidak sesekali malu bertanya kepada individu yang lebih berpengalaman dan mempunyai ilmu bagi membolehkan saya menjadi yang lebih baik,” katanya.

Menurut Dr Mukhlis, dia amat mengharapkan hasil kerjanya mendapat sambutan terutama kepada individu yang inginkan kelainan dengan hasil solekan ringkas namun memukau.

“Tidak mengharapkan untuk hidup terlalu mewah dengan hasil yang diterima kini, namun saya berharap dapat menjalani kehidupan selesa dan sihat,” ujarnya.

Mahu perluas ilmu

Dr Mukhlis yang disahkan bebas daripada kanser pada Oktober 2013 nekad mahu terus sihat serta berjaya dalam bidang yang diceburinya kini.

“Usaha yang kuat, doa serta restu daripada ibu dan bapa menjadi kekuatan saya untuk terus kuat selain sentiasa yakin pada diri mampu melawan kanser.

“Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang sains sukan atau psikologi pada masa akan datang untuk menambah cabang ilmu yang saya ada,” katanya.

Menurutnya, dia juga sentiasa berharap dapat memberi semangat dan inspirasi kepada penghidap kanser lain supaya sentiasa terus kuat dalam melawan penyakit itu.

“Saya amat memahami perasaan setiap penghidap kanser dan disebabkan itu, saya mahu mereka kuat selain melakukan perkara diminati dalam hidup ini.

“Gembirakan hati dengan melakukan perkara yang disukai kerana ia sedikit sebanyak memberi keyakinan pada diri,” ujarnya.

Tambahnya, selain sibuk dengan tugasan sebagai jurusolek, dia turut membantu penghidap kanser lain dengan me­ngadakan sesi pertemuan untuk memberi semangat supaya terus kuat dalam melawan penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:01 AM