Allahyarham Yussry Edo atau Yus Jambu.
Allahyarham Yussry Edo atau Yus Jambu.
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Konsert Juara Parodi minggu kelima yang akan disiarkan secara langsung melalui saluran Astro Warna, Jumaat ini, akan ditukar kepada konsert ‘tribute’ bagi mengenang pelawak popular Yussry Edo atau Yus Jambu yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Selayang di sini, Ahad lalu.

Pengurus Saluran Astro Warna Emarina Kamal berkata, Astro sepakat mengadakan konsert ‘tribute’ pada malam itu dan tidak ada pertandingan seperti kebiasaannya.

"Kami sedar ramai masih terkejut dengan pemergian Yus. Ada yang masih beremosi dan ini mungkin tidak bagus jika kami meneruskan pertandingan. Apa yang dilakukan ini juga sebagai hadiah terakhir daripada teman artis untuk arwah,” katanya.

Emarina berkata, pada malam itu nanti 10 kumpulan yang bertanding akan mengadakan persembahan khas.

Dalam Juara Parodi, Yus bergabung dengan rakannya dalam kumpulan Jambu, Tauke, membentuk kumpulan Kobis Pedas bersama penyanyi popular Misha Omar.

Sembilan lagi kumpulan yang bertanding ialah Abang Face, Selamba Blur, Mawi & The Loyar, Righthanded, Juri, Black Dot Chey, Cuba Teka, Skru dan Senaman.

Juara Parodi menggabungkan penyanyi dan pelawak popular antaranya Black, kumpulan Bocey, Shuib Sepahtu, Rahim Sepahtu, Mark Adam, WARIS, Zahid, Tomok, Mawi, Azlee Senario, Syuk SYJ dan Joey.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 4:48 PM