ZUAR terharu dengan sambutan peminat.
ZUAR terharu dengan sambutan peminat.
ANTARA aksi bertenaga daripada XPDC ketika persembahan di Melaka, baru-baru ini.
ANTARA aksi bertenaga daripada XPDC ketika persembahan di Melaka, baru-baru ini.
MAEL harap peminat boleh terima gabungan terbaru XPDC.
MAEL harap peminat boleh terima gabungan terbaru XPDC.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Biarpun kontroversi perebutan nama XPDC dengan Izo, Ali, Lola dan Eddie, gabungan kembali Mael (penyanyi), Zuar (bass), Amy (dram) dan anggota baru, Jeff (gitar) yang membentuk XPDC ternyata diterima baik peminat.

Mereka sememangnya merindukan kumpulan heavy metal yang pernah bergelar ‘Raja Funfair’ ketika tahun kegemilangan muzik rock sekitar era 1990-an dulu.

Persembahan dalam Headbang Comeback! di Hard Rock Cafe Melaka, baru-baru ini menjadi bukti mereka masih berbisa dalam kalangan peminat.

Zuar berkata, mereka terharu dengan sambutan yang diberikan peminat setia XPDC yang hadir menyaksikan persembahan itu.

“Dengan promosi agak singkat, persembahan ini berjaya menarik kehadiran ramai peminat. Memang tak sangka peminat dari Johor, Singapura, Pahang dan dari utara tanah air sanggup turun semata-mata untuk menonton persembahan kami.

“Diharapkan momentum ini akan berterusan untuk persembahan kami di tempat lain nanti. Kami sememangnya sudah bersedia untuk menggegarkan pentas dengan lagu-lagu menarik,” katanya.

Zuar berkata, peminat sangat merindui persembahan XPDC yang sudah lama tidak beraksi di mana-mana lokasi.

“Ketika persembahan di Hard Rock Cafe Melaka, kami terpaksa medleykan banyak lagu kerana kesuntukan masa. Namun itu sudah memadai kerana peminat turut sama menyanyi dengan Mael. Rata-rata mereka peminat tegar XPDC yang tahu lagu-lagu kami,” katanya.

Sementara itu, Mael mengakui gabungan semula mereka terjadi kerana sikap muafakat yang diamalkan dalam diri masing-masing.

“Menerusi muafakat dan keikhlasan barulah kita dapat menghasilkan persembahan yang menghiburkan. Selain itu, setiap anggota XPDC juga ada karakter tersendiri di atas pentas yang digemari peminat. Ini semua menjadi daya penarik buat mereka.

“Saya harap peminat positif menerima gabungan kami termasuk Jeff dalam XPDC. Saya yakin Jeff mampu melakukan yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:01 AM