MEMPUNYAI getah lembut yang tidak menyakitkan.
MEMPUNYAI getah lembut yang tidak menyakitkan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kebanyakan Muslimah sering kali berdepan masalah sama apabila baju yang ingin digayakan itu berlengan pendek yang membataskan keinginan untuk berfesyen.

Sarung tangan yang terdapat di pasaran juga kadangkala tidak selesa ataupun terlalu ketat. Akibatnya, baju yang sudah menarik perhatian itu terpaksa dilepaskan lantaran sukar untuk menggayakannya.

Atas faktor itu, jenama Dahlya Fashion tampil dengan sarung tangan ‘luar biasa’ iaitu X10der Dahlya Sarung Tangan yang berfungsi untuk memanjangkan lengan baju yang singkat serta melabuhkan baju yang pendek.

Pengasas Dahlya Fashion, Emy Dahlia Burhanuddin berkata, koleksi itu diinovasikan dengan penyambungan di bahagian belakang dan di bahu atau ketiak.

Menurutnya, ia turut dikemaskan dengan penggunaan getah lembut bagi memberikan keselesaan kepada si pemakai tanpa mengira situasi, keadaan serta tempat.

“Koleksi ini amat praktikal kerana ia amat membantu Muslimah bergaya walaupun ketika memakai baju berlengan pendek.

“Ia dijual dengan harga istimewa iaitu RM49 sepasang serta didatangkan dengan pilihan warna yang pelbagai antaranya warna asas iaitu hitam, putih dan coklat serta warna lain seperti merah jambu, biru, hijau, kuning dan ungu,” katanya.

Emy Dahlia berkata, bagi pilihan saiz pula, koleksi terbabit boleh didapati bermula daripada saiz XS/S, M/L, XL/XXL dan 3XL/4XL.

“Tidak mengira usia, sesiapa saja boleh menggunakan sarung tangan istimewa ini terutama kepada individu berusia 15 hingga 45 tahun.

“Ia juga direka dalam potongan longgar bagi memudahkan aktiviti harian si pemakai selain memberikan keselesaan tanpa berasa panas atau tidak selesa,” ujarnya.

Menurut Emy Dahlia, pihaknya berharap X10der Dahlya Sarung Tangan dapat membantu Muslimah dalam berdepan masalah berfesyen terutama apabila ingin meng­gayakan baju berlengan pendek.

Maklumat lanjut berkaitan koleksi ini boleh didapati dengan melayari www.facebook.com/X10derDahlyaTudung Mudah Solat dan Instagram di dahlyafashion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 4:56 AM