Antara tong gas bersubsudi dan industri yang ditemui dalam serbuan di di Kawasan Perusahaan Sri Kembangan, pagi tadi. - Foto NSTP
Antara tong gas bersubsudi dan industri yang ditemui dalam serbuan di di Kawasan Perusahaan Sri Kembangan, pagi tadi. - Foto NSTP
Oleh Nabihah Kamal

Serdang: Seorang lelaki yang menjadi dalang sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) tumpas apabila dia ditahan di premisnya di Kawasan Perusahaan Sri Kembangan, pagi tadi.

Serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor pada jam 11 pagi itu berjaya merampas 387 tong gas LPG.

Pengarah KPDNKK Selangor Mior Najmuddin Mior Dzulkifli berkata, pihaknya menahan pemilik premis berusia 52 tahun yang giat menjalankan sindiket berkenaan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, sindiket berkenaan mendapat bekalan gas subsidi daripada pemborong berlesen sebelum dijual semula kepada pihak industri yang menjadi pelanggan tetap.

Sindiket itu membeli LPG bersubsidi dengan harga RM1.20 satu kilogram sebelum menyedut dan memindahkannya ke dalam tong gas industri dan dijual dengan harga RM4.20 satu kilogram.

"Kami menyita 387 tong gas 12 kg dan 14 kg bernilai RM49,386 serta sebuah lori yang digunakan untuk menghantar gas berkenaan kepada pembeli.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 7:13 PM