Kenji  (tiga dari kanan)  melancarkan kad kredit AEON BiG Visa baru dengan fungsi payWave, semalam.
Kenji (tiga dari kanan) melancarkan kad kredit AEON BiG Visa baru dengan fungsi payWave, semalam.

Kuala Lumpur: AEON Credit Service (M) Berhad menjangkakan dengan pelancaran kad kredit AEON BiG Visa baru dengan fungsi payWave akan mencapai edaran sehingga 50,000 keahlian menjelang hujung tahun depan.

Pengarah Urusannya, Kenji Fujita berkata, kad kredit itu direka bagi meningkatkan nilai kepada perbelanjaan runcit pelanggan di semua cawangannya melalui rebat yang ditawarkan oleh AEON Credit dan AEON Big.

“Pelancaran ini selaras dengan falsafah AEON Credit yang mempunyai matlamat untuk memberikan pengguna perkhidmatan kewangan sebenar bagi memenuhi keperluan mereka. Antara kelebihan kad kredit ini adalah tawaran rebat gabungan sehingga 15 peratus untuk perbelanjaan runcit di AEON Big, yang menjadikannya tawaran pulangan wang tunai tertinggi di pasaran serta satu manfaat jangka panjang.

“Kad kredit ini juga menawarkan pelanggan kemudahan platform kad tunggal untuk tujuan pengumpulan mata dan pembayaran. Malah, mereka juga layak menyertai kempen promosi sekali gus dapat menikmati ganjaran yang lebih menarik,” katanya pada majlis pelancarannya, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 80 peratus pelanggan menggunakan kad kredit ketika membuat pembelian dengan 40 peratus transaksi jualan keseluruhan kad kredit kumpulan disumbangkan oleh segmen kad kredit selain menyasarkan lebih daripada separuh transaksi 2016 disumbangkan oleh segmen baru berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, Visa payWave mampu memudah dan mempercepatkan transaksi harian konsumer dan ia selamat digunakan sama seperti kad Visa yang lain.

“Kami bekerjasama rapat dengan AEON Credit, AEON BIG serta bank dan peniaga lain untuk mengedarkan lebih banyak kad Visa payWave di pasaran serta berusaha meningkatkan penerimaan untuk penggunaan transaksinya.

“Jumlah pembayaran bagi transaksi payWave itu meningkat hingga hampir 200 peratus antara tahun ke tahun (sehingga Ogos 2015) dan bilangan transaksi tanpa sentuhan juga meningkat sebanyak 50 peratus bagi tempoh sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:39 AM