Kuala Lumpur: Pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee menganggap peluangnya untuk terus membimbing pasukan secara tetap kini 50-50 susulan kekalahan teruk 0-6 di tangan Palestin di Amman, Jordan minggu lalu.

Beliau berkata, segala-galanya terserah kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukan nasibnya selepas diberi peluang mengendalikan tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 serta satu aksi persahabatan sejak 4 September lalu.

“Sebelum perlawanan dengan Palestin saya boleh katakan berpeluang 75 peratus untuk mendapat jawatan itu. Tapi selepas perlawanan dengan Palestin, peluang saya merosot kepada 50 peratus.

“Saya tak boleh salahkan mereka kerana sebagai jurulatih saya harus menerimanya. Tapi selepas ini jika FAM tidak mahukan saya lagi, saya kena terima kerana itu cabaran sebagai jurulatih.

“Tidak ada apa yang perlu dikesalkan kerana saya sudah diberi peluang,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Kim Swee, 44, dilantik pengendali sementara bagi menggantikan Dollah Salleh yang meletakkan jawatan sejurus kekalahan memalukan 0-10 di tangan UAE di Abu Dhabi 3 September lalu.

Selain kekalahan teruk kepada Palestin, prestasi bekas pemain kebangsaan itu dilihat baik meskipun skuad negara tewas 1-2 kepada Arab Saudi sebelum Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menghadiahkan kemenangan 3-0 susulan kekecohan Ultras Malaya.

Malah Kim Swee berjaya membangkitkan semula semangat pemain yang dikatakan fobia dibelasah pihak lawan apabila memberikan tentangan ketika kalah 1-2 kepada UAE, pasukan ranking ke-67 dunia di Stadium Shah Alam kelmarin.

Di bawah kendaliannya, beliau berjaya membantu skuad negara merekod kemenangan pertama tahun ini dengan menundukkan Laos 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa dan 1-0 ke atas Timor Leste dalam perlawanan Kumpulan A kelayakan bulan lalu.

Kim Swee yang membantu skuad Bawah 23 negara memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 bakal tamat kontrak selaku jurulatih Harimau Muda A hujung bulan depan.

FAM kini dalam proses mencari jurulatih tetap yang bakal diumumkan sebelum tahun ini. Setakat ini lebih daripada 30 calon dari dalam dan luar negara memohon untuk jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:48 AM