TAK sangka dikenali semula.
TAK sangka dikenali semula.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Tidak menjangkakan sambutan luar biasa, penyanyi Azian Mazwan Sapuwan, 40, mengakui terkejut apabila namanya kembali menjadi sebutan selepas pembabitannya dalam Gegar Vaganza musim kedua (GV2).

Azian berkata, selama ini namanya hanya dikenali dalam kalangan peminat dewasa, tetapi kini peminat generasi baru turut mengenalinya.

Bukan Azian saja, tempias populariti turut dirasai anak-anaknya.

“Saya memang tak jangka semua ini. Anak ada yang malu-malu apabila guru dan rakan sekolah bertanya mengenai saya.

Selain anak dan suami, Azian juga turut mendapat sokongan padu daripada anggota keluarga lain yang hadir ke konsert GV2 setiap minggu.

“Alhamdulillah, anggota keluarga sangat menyokong. Dulu ketika saya menyertai program Bintang RTM, belum ada lagi media sosial seperti hari ini.

“Jadi, apabila menyertai program GV2, ramai yang bukan saja menyokong, tetapi turut membantu mempromosikan di media sosial,” katanya.

Mungkin ramai tak tahu, Azian masih bertugas di Jabatan Perkhidnatan Awam di Putrajaya.

“Walaupun bertugas sebagai penjawat awam, ada juga beberapa jemputan untuk membuat persembahan di acara tertutup dan korporat. Selepas muncul semula di GV2, tawaran untuk membuat persembahan semakin bertambah.

“Namun, ada beberapa tawaran terpaksa ditolak kerana setiap minggu fokus saya kepada program ini,” katanya.

Tiada niat membuat kemunculan semula

Ditanya mengenai perancangannya untuk membuat kemunculan semula, Azian mengakui bahawa dia tidak menyimpan niat itu.

“Tiada niat untuk membuat kemunculan semula. Apabila menerima tawaran untuk menyertai program ini, saya sangat bersyukur dan nampaknya jalan untuk kerja seni saya dibuka semula oleh-Nya,” katanya.

Azian berkata, untuk konsert minggu keenam Ahad ini, dia diberi tugasan menyampaikan lagu Layu Sebelum Berkembang nyanyian asal Emilia Contessa.

“Lagu itu sangat mencabar. Saingan juga makin sengit memandangkan kini tinggal lapan peserta.

“Saya terbuka untuk menerima apa saja lagu yang diberikan kerana ingin mencabar diri sendiri dan sedaya upaya melakukan yang terbaik,” katanya.

Untuk memperkukuhkan lagi persembahannya di pentas program realiti itu, dia perlu memberikan penekanan kepada beberapa elemen.

“Selain vokal, saya juga perlu fikirkan mengenai susunan muzik serta pemilihan lagu yang bersesuaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 8:12 AM