SM Faisal (tengah) bersama Dietze (kanan) dan Ratnaike (kiri) memotong riben sebagai tanda perasmian pusat pameran Brabus di Shah Alam.
SM Faisal (tengah) bersama Dietze (kanan) dan Ratnaike (kiri) memotong riben sebagai tanda perasmian pusat pameran Brabus di Shah Alam.
Oleh Badrila Jamlus.

[email protected].

Naza-Brabus Motors Sdn Bhd (Naza-Brabus Motors), anak syarikat Kumpulan Syarikat-syarikat Naza yang mengedarkan model kenderaan mewah talaan khas Brabus dari Jerman, melancarkan pusat pameran baru yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Pusat pameran seluas 5,000 kaki persegi itu dibina membabit­kan kos pelaburan RM6 juta yang mempamerkan model seperti Brabus ML WideStar, Brabus iBUsiness S Class dan Brabus SLK.

Selain pusat pameran, Naza-Brabus Motors melancarkan Pusat Prestasi Brabus seluas 2,000 kaki persegi yang menempatkan lapan petak penyelenggaraan dikendalikan oleh juruteknik Brabus bertauliah.

Pada majlis pelancaran itu, syarikat memperkenalkan model Brabus CLS Rocket 730 iaitu yang ditala khas berasaskan model Mercedes-Benz CLS63 AMG. Rocket 730 ini diberi penalaan khas oleh Brabus GmbH dengan kemampuan enjin berkuasa 5.5 liter bi-turbo.

Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum 730 hp dan tork 1,065 Nm yang membolehkan jentera empat roda itu memecut daripada sifar sehingga 100 km/j dengan hanya 3.8 saat dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 350 km/j.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata, pengenalan model Brabus CLS Rocket 730 yang dipamerkan itu adalah bukti usaha gigih dan hasil kerja pasukan Pusat Prestasi Brabus di Glenmarie.

"Selain itu, pembukaan pusat pameran dan pusat prestasi Brabus dilihat sebagai usaha mengembang­kan perniagaan di dalam bidang automotif. Ia juga sebagai kemudahan kepada pelanggan kami yang menginap di sekitar Lembah Klang," katanya.

Turut hadir Pengurus Jualan Brabus bagi Asia-Pasifik dan Afrika, Christoph Dietze dan Timbalan Presiden 4-Wheel Division Kumpulan Syarikat Naza, David Hector Ratnaike.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:01 AM