Najib bergambar bersama SM Nasaruddin (dua dari kanan) selepas majlis perasmian Naza Tower di Persiaran KLCC, semalam.
Najib bergambar bersama SM Nasaruddin (dua dari kanan) selepas majlis perasmian Naza Tower di Persiaran KLCC, semalam.

Kuala Lumpur: Malaysia terus maju ke hadapan meskipun keadaan ekonomi tidak menentu seperti dicerminkan pelaburan langsung asing sebanyak RM22.4 bilion yang dicatatkan dalam separuh pertama tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, meskipun mengalami penurunan dalam hasil minyak, negara masih boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan menggalakkan keusahawanan.

“Malaysia adalah negara yang maju ke hadapan dan saya yakin dasar dilaksanakan serta semangat keusahawan yang dimiliki ramai daripada kita, Malaysia akan mencapai aspirasi menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya pada pelancaran Naza Tower di Platinum Park, di sini, kelmarin.

Bangunan baru itu menempatkan pejabat korporat rasmi konglomerat Bumiputera, Kumpulan Syarikat Naza sempena ulang tahun ke-40 kumpulan itu.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Perdana Menteri menggesa syarikat Bumiputera menjadikan permit import (AP) yang diterima mereka sebagai pemangkin untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang lain.

“Kita selalu tekankan apabila kita bagi AP pada syarikat Bumiputera, kita nak mereka gunakan AP itu untuk mengembangkan perniagaan ke bidang lain. Tidak banyak syarikat Bumiputera yang dapat AP yang berjaya dalam pelbagai bidang lain,” katanya sambil menjadikan Kumpulan Naza sebagai contoh syarikat berusia 40 tahun yang muncul antara syarikat Bumiputera paling berjaya selepas menceburi pelbagai cabang perniagaan.

Terletak di Persiaran KLCC, pejabat Naza Tower setinggi 50 tingkat sebahagian daripada Platinum Park, yang juga menempatkan Menara Felda dan Menara TH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 6:37 AM