SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
SERAMAI 150 jurusolek dari Mexico yang menjayakan solekan bagi filem Spectre.
SERAMAI 150 jurusolek dari Mexico yang menjayakan solekan bagi filem Spectre.
SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
SOLEKAN ikonik ‘sugar skull’ digunakan secara meluas dalam satu babak filem James Bond kali ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Mesej samar dari masa lalu membawa figura segak ini merantau nun ke Rom dan Mexico City. Perjalanannya itu membawa kepada pertemuan dengan balu jelita hingga membuka laluan kepada kewujudan organisasi jahat dikenali Spectre.

Dalam misinya untuk merungkai SPECTRE yang makin menjadi ancaman dunia, James Bond pada masa sama membongkar kaitan hubungannya dengan si penjahat.

Sememangnya apa yang bakal dihidangkan di pawagam minggu depan bagi filem ke-24 Ejen 007 amat dinantikan peminat setianya.

Namun, di sebalik kemeriahan pembukaan acara tontonannya mulai hujung minggu ini, filem Spectre menjanjikan keterujaan pada impak dan penampilan barisan pelakonnya.

Tanpa mengetepikan solekan pada pelakon utamanya seperti Daniel Craig, Monica Belluci dan Lea Seydoux, perhatian khusus turut diberi perhatian kepada solekan ratusan pelakon tambahannya.

Dengan suntikan tema Halloween pada sebahagian babak di Mexico City, filem James Bond kali ini memaparkan kesan seni solekan yang lebih eksentrik.

Peluang berbual dengan Naomi Donne - pereka solekan produksi besar ini nyata membuka mata dan minda penulis mengenai apa sebenarnya yang berlaku di belakang tabir pembikinan filem arahan Sam Mandes ini.

Spectre ialah filem Bond kelima yang meletakkan Naomi sebagai tunjang jurusoleknya selepas The Living Daylights, License To Kill, Quantum of Solace dan Skyfall.

Dengan disokong MAC Cosmetics, Naomi menghasilkan solekan di luar kelaziman filem Bond, tetapi masih berteraskan tanda pengenalannya.

Ikuti temu bual eksklusif penulis bersama Naomi mengenai pengalamannya bekerjasama dalam produksi ini.

SOALAN (S): Sukarkah menyediakan riasan untuk filem ini khususnya pelakon lelaki, ditambah dengan keadaan cuaca yang ekstrem ketika sesi penggambaran?

JAWAPAN (J): Perkara pertama yang saya lihat pada riasan pelakon lelaki adalah jenis ton kulitnya. Dari situ pasukan kami dapat memilih jenis bedak asas MAC yang sesuai lalu diadun sebaiknya pada wajah pelakon.

Untuk pelakon wanita pula, kami beri tumpuan kepada penjagaan kulit. Tidak ketinggalan ton kulit mereka. Solekan untuk pelakon wanita tertumpu kepada watak yang dimainkan, jadi ia tidaklah seperti mengikut trend solekan terkini.

Bagi pelakon tambahan pula, kami gunakan lebih 600 produk Chromacake MAC, variasi bedak asas dan himpunan besar gincu serta pensel kening.

S: Ini filem James Bond kelima yang anda sertai. Apakah perubahan yang anda lakukan untuk watak kali ini?

J: Saya tiada formula khusus. Saya tidak percaya dengan formula. Setiap filem berbeza dan penonton mahu melihat perubahan pada setiap filem.

Tetapi saya faham ada sebahagian penonton yang mempunyai idea tertentu terutama pada pelakon wanitanya. Kita maklum Bond Girls sentiasa tampil seksi juga glamor dan itulah hakikatnya. Itulah antara aspek yang ingin dilihat penonton.

Bagaimanapun, ia berbalik kepada kehendak pengarah. Seperti apa yang diingini Sam Mandes, solekan semula jadi diberikan kepada pelakon wanita utamanya sementara yang lain diberi penekanan solekan berat.

Apa yang saya lakukan menepati visi Sam Mandes. Ia pengalaman yang menarik bekerjasama dengannya. Selepas mendapat skrip, saya mula mencatat nota mengenai visi solekan saya dan melakukan rujukan untuk pemahaman saya pada watak terbabit.

Saya kemudian berbincang dengan Sam mengenai visi solekan itu. Kami mula berkongsi visi dan prosesnya bermula dari situ.

Secara asasnya saya perlu mengikut kehendak Sam kerana ini filemnya, tetapi saya beruntung kerana dia menghargai idea saya malah ia digabungkan bersama dengan visinya.

S: Boleh kongsikan perkara lucu atau pelik yang berlaku sepanjang anda terbabit dalam pembikinan filem ini.

J: Perkara lucu dan pelik biasanya berlaku apabila saya mencuba sesuatu yang baru. Ada momen yang berlaku apabila saya mahu mencipta gigi daripada berlian pada salah satu watak penjahat. Jadi apabila dia membuka mulut, sinaran daripada berlian itu akan jelas kelihatan, sekali gus mengukuhkan wataknya sebagai penjahat.

Tetapi, saya tidak mahu menggunakan butiran berlian halus kerana ia tidak nampak tulen. Justeru, kami gunakan batu berlian yang besar dan berusaha membentuknya daripada batu itu.

Selama enam bulan kami mencuba pelbagai potongan, kaedah dan teknik, tetapi ia tidak berhasil. Ia tidak berjaya menarik sinaran cahaya yang kami inginkan. Sudahnya idea itu dilupakan.

S: Apakah gaya solekan yang menjadi kegemaran anda dalam filem ini?

J: Saya suka pada solekan yang terperinci dan lain daripada biasa. Dalam filem ini, ada babak James Bond ke Mexico City yang dibanjiri dengan masyarakat dan pelancong yang meraikan Festival Day of the Dead.

Day of the Dead ialah perayaan tradisi masyarakat Mexico yang memenuhi jalan raya di kawasan bandar bagi meraikan si mati dalam keluarga atau kenalan mereka.

Mereka biasanya akan menggayakan pakaian menarik dengan solekan hantu seperti yang biasa dilihat ketika Halloween.

Untuk Spectre, kami lakukan solekan ikonik ‘sugar skull’ pada lebih 1,500 pelakon tambahan bagi memperlihatkan ritual ini.

Enam minggu sebelum babak ini dirakam, saya menghantar lima jurusolek ke Mexico City. Mereka ke sana untuk melakukan pelbagai kajian mengenai perayaan itu.

Sebahagian pasukan jurusolek pula tinggal bersama saya untuk mengembangkan lagi solekan bagi barisan pelakon utama.

Pasukan kami yang ke Mexico City itu kembali dengan hasil kajian mereka dan kami berjaya melengkapkan idea solekan untuk babak terbabit.

Kami gunakan khidmat 150 jurusolek dan penggaya rambut tempatan sebagai salah satu cara kami menghormati serta menghargai budaya perayaan itu.

S: Apakah produk MAC yang paling banyak digunakan untuk filem ini dan paling kerap anda gunakan secara peribadi?

J: Secara peribadi, saya sentiasa gunakan penggaris mata gel dan pensel kening kerana tekstur serta hasilnya yang menarik.

Saya juga sukakan himpunan gincu MAC kerana ia hadir dalam pelbagai palet warna untuk apa jua solekan.

Untuk filem Spectre ini pula, kami banyak gunakan palet bibir, penggaris mata Creme, Fluidline, bedak Prep and Prime, pemerah pipi Creme dan himpunan bedak asas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 11:33 AM