Jill Scott (gambar) kelihatan menyerlah ketika bersama peminatnya di China tetapi kunjungan terbarunya ke Yongchuan mengesahkan dia sememangnya wanita luar biasa.

Selepas membuat penampilan ke-100 England kelmarin sewaktu skuad kendalian Mark Sampson menewaskan Australia dalam perlawanan persahabatan, pemain tengah Manchester City itu kini menyertai kelompok elit.

“Melihat wibawa pemain wanita yang membuat 100 penampilan seperti Kelly Smith, Fara Williams dan Casey Stoney, memang menakjubkan dapat menyertai senarai itu,” kata Jill sebelum kembali ke England.

“Hujung minggu ini adalah sambutan Halloween jadi saya mungkin akan berpakaian seperti pontianak, saya kelihatan seperti itu selepas perjalanan jauh,” gurau pemain berusia 28 tahun yang membayangkan takdirnya mencatat sejarah itu sewaktu berada di China.

“Saya amat gembira. Satu penghormatan yang besar meraih 100 caps terima kasih kepada keluarga dan rakan yang menyokong saya selama ini.

“Ramai yang berkata adalah memalukan ia berlaku di tempat yang mereka tidak boleh pergi tetapi China adalah tempat yang penting buat saya.

“Saya mempunyai tatu kecil di buku lali, beberapa simbol China yang bermakna kejayaan dan saya sudah berjaya di negara ini.

“Beraksi dalam Piala Dunia 2007 satu pencapaian hebat buat saya, Hope Powell (jurulatih sebelum Sampson) memberi kepercayaan dan kini semua ini berlaku.”

Satu kebetulan dalam kejohanan itu di mana England tewas 1-2 kepada pasukan tuan rumah pada Jumaat sebelum jaringan Isobel Christiansen memastikan kemenangan ke atasa Australia, bertembung dengan kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke England.

Selalunya, pemain Scotland itu akan diperkenalkan dengan presiden China dan George Osborne apabila canselor itu membawa tamunya melawat pusat latihan Manchester City.

Jill dan rakan sepasukannya kini mula mendapat perhatian sejak kejayaan England pada Piala Dunia Wanita di Kanada, berjaya melepasi ramalan awal, mara ke suku akhir sebelum menewaskan Jerman dalam penentuan tempat ketiga.

Secara tiba-tiba (golongan) lelaki yang pernah mengejek Jill kerana bermain bola sepak sewaktu remaja di Wearside kini beratur untuk berselfie dengannya.

Dia masih merendah diri, seperti mana ketika bergelar jaguh rentas desa bersama Sunderland Harriers.

Penghijrahannya menyertai kelab bola sepak bandar kelahirannya sebelum berpindah ke Everton dan City membawa Jill ke satu tahap di mana David Beckham sendiri bangga dapat bergambar dengannya di Wimbledon namun mengakui jalan ditempuhi begitu mencabar.

“Rasa bagaikan semalam. Ia pasti mengambil masa untuk menerima yang saya mampu mencapai angka 100,” katanya.

Sampson dan kakitangan sokongan pasukan itu menyertai rakan sepasukan menyerahkan DVD peringatan khusus buatnya.

“Saya berterima kasih kepada pemain dan kakitangan yang berkerjasama dengan saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 8:24 AM