Mohd Mokhtar menunjukkan dadah dipercayai syabu yang dirampas dalam serbuan, semalam. FOTO Siraj Mohd Zaini
Mohd Mokhtar menunjukkan dadah dipercayai syabu yang dirampas dalam serbuan, semalam. FOTO Siraj Mohd Zaini
Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur : Lapan ahli sindiket pengedaran dadah warga Iran berusia 23 hingga 47 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam serbuan di Dang Wangi, Sri Hartamas, Kepong dan Bandar Kinrara, semalam.

Pengarah JSJN Datuk Sri Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata, pihaknya bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman melakukan tujuh serbuan di kawasan itu berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai.

Katanya, polis merampas 10 kilogram dadah disyaki syabu serta sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

"Polis turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis, seutas jam tangan dan wang tunai RM9,830.

"Semua yang ditahan direman mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengucapkan syabas di atas kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan.

"Syabas STING @pdrmsia tangkap 8 warga iran di Mont Kiara, Jalan Ampang dan Kinrara dan rampas 10kg syabu dan alat2 prosesnya.Go PDRM Go," katanya menerusi akaun Twitter pagi tadi.

semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 3:34 PM