DR Norazirah menyarankan akne dirawat segera.
DR Norazirah menyarankan akne dirawat segera.
RICARD (dari kiri), Dr Norazirah dan Teh pada pelancaran rangkaian Benzac.
RICARD (dari kiri), Dr Norazirah dan Teh pada pelancaran rangkaian Benzac.
RANGKAIAN penjagaan kulit Benzac.
RANGKAIAN penjagaan kulit Benzac.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Masalah kulit se­perti akne (jerawat batu) sememangnya menggugat emosi dan membuatkan seseorang berasa malu, sedih dan kurang yakin diri apabila berhadapan dengan orang sekeliling.

Kulit yang kemerahan, tidak sekata dan bernanah bukan saja membuatkan seseorang segan untuk keluar rumah dan berjumpa orang lain, malah ia turut membuatkan mereka tidak dapat bergaya dengan yakin.

Apabila keyakinan diri terjejas, ia mungkin tidak baik untuk kesihatan mental dan boleh mencetuskan masalah kemurungan.

Menurut perunding dermatologi, Dr Norazirah Md Nor, akne adalah keadaan radang kulit membabitkan pelbagai faktor yang menjejaskan folikel rambut dan kelenjar minyak.

Masalah itu biasa dialami mereka yang memiliki kulit berminyak atau kombinasi. Kira-kira 60 peratus remaja di Malaysia mengalami masalah akne.

"Masalah akne berpunca daripada pengeluaran sebum yang meningkat, pembiakan bakteria, keradangan dan masalah kulit mati yang menyumbat pori.

"Akne tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan jiwa dan emosi. Malah, ada laporan yang menunjukkan akne menjurus kepada masalah kemurungan serius," katanya pada majlis pelancaran rangkaian produk penjagaan kulit bebas akne, Benzac, keluaran Galderma, sebuah syarikat dermatologi global berpang­kalan di Switzerland.

Turut hadir, Pengurus Besar Galderma Asia Tenggara, Jean-Sebastien Ricard dan Pengurus Pemasaran dan Jualan Galderma Malaysia, Teh Chean Boon.

Produk itu terdiri daripada Benzac Daily Facial Liquid dan Foam Cleansers, ­Benzac AC Gel dan Benzac Facial Scrub, sesuai untuk semua jenis kulit termasuk bermi­nyak, kombinasi, sensitif dan kulit normal.

Formulanya berperanan mengawal minyak tanpa mengeringkan kulit selain ­melembap dan melembutkan kulit serta menghapuskan bakteria yang menyebabkan jerawat.

Menurut Dr Norazirah, antara faktor utama yang meningkatkan risiko akne adalah sejarah keluarga dan masalah obesiti yang dihadapinya.

Masalah akne juga boleh menjadi lebih buruk sekira­nya seseorang berada dalam tekanan, merokok, berdiet, mengamalkan pemakanan yang tinggi kandungan karbohidrat atau gemar menikmati susu dan aiskrim lebih sekali dalam seminggu.

"Antara pilihan rawatan bagi akne adalah melalui pengambilan pil perancang, retinoid atau antibiotik secara oral.

"Penjagaan kulit juga perlu diberi perhatian dan hanya memilih jenis sesuai ­dengan kulit bermasalah untuk mengelakkan akne menjadi lebih teruk.

"Ciri penting yang perlu diberi perhatian dalam pemilihan produk sesuai ­dengan kulit bermasalah antaranya tidak membuatkan kulit kering, merengsa dan menyumbat liang roma serta mampu mengawal pengeluaran sebum, antibakteria akne dan antiradang," katanya.

Dr Norazirah berkata, pencuci muka yang dipilih harus sesuai dengan jenis kulit bagi mengelak berlakunya akne atau jerawat, sama ada kulit jenis berminyak, kombinasi, normal atau sensitif.

Kulit berminyak dan bermasalah masih perlu menggunakan pelembap, namun ia perlu dipilih daripada jenis yang tidak menyumbat pori, tidak berasaskan minyak manakala bagi kulit kombinasi, pelembap perlu disapu pada kawasan zon T.

"Kulit bermasalah juga perlu menggunakan bahan sental, tetapi ia harus digunakan secara berkadar tidak lebih daripada dua kali seminggu serta elak daripada produk yang berbiji kasar. Selepas penggunaan bahan sental, jangan lupa melembap­kan kulit," kata­nya.

Menurutnya, masalah jiwa yang berlaku dalam kala­ngan mereka yang mengalami akne teruk berpunca daripada parut kasar yang ada pada permukaan kulit hingga merosakkan penampilan dan membuatkan wajah mereka kelihatan kusam dan tidak bermaya.

Golongan ini juga biasa­nya mengalami tekanan emosi serta kemurungan akibat penerimaan orang sekeliling yang mungkin menjadikan masalah mereka sebagai bahan ejekan.

Malah, menurut Dr Norazirah, ada yang disisihkan daripada mendapat pekerjaan oleh sesetengah majikan terutama yang mementing­kan penampilan pekerjanya.

"Ia bukan masalah yang boleh dipandang ringan kerana ada kes membabitkan mereka yang menderita akibat akne cuba membunuh diri kerana tidak tahan ­me­ngalami tekanan perasaan.

"Ini kerana wajah berjerawat batu boleh memberi kesan pada emosi seterusnya meninggalkan impak yang besar pada kualiti hidup.

"Selalunya yang lebih mengalami tekanan perasaan ialah wanita yang mengalami masalah ini dalam tempoh yang panjang atau mendapat akne pada usia yang sudah memasuki 30-an atau 40-an," katanya.

Dr Norazirah turut menasihatkan mereka yang me­ngalami akne supaya segera mendapatkan rawatan ­dengan berjumpa pakar dermatologi, selain mengamalkan penjagaan kulit yang betul dan merawatnya dari peringkat awal untuk me­ngelak masalah parut atau kesan jangka panjang pada emosi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:01 AM