SIBUK melayani peminat.
SIBUK melayani peminat.

Sebaik selesai berseronok dan memperdayakan lawan dengan aksi lincah di padang, tiada apa lebih menggembirakan Kevin de Bruyne dari menenangkan fikiran dengan membuat kek.

Menurut akhbar Mirror, De Bruyne sangat berminat membakar kek malah turut membawa kek yang dihasilkannya ke pusat latihan Manchester City untuk dicuba rakan sepasukannya.

Pemain City bernilai £54 juta (RM348.9 juta) itu dikatakan mendapat inspirasi daripada rancangan Bake Off, satu program yang membuat pemain Belgium itu menontonnya dengan penuh minat.

Mungkin juga peluang untuk lebih dekat dengan idolanya, iaitu juri program Bake Off, Mary Berry menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi De Bruyne untuk menyertai Liga Perdana Inggeris musim panas ini.

“Jika Kevin tidak dapat menonton rancangan Bake Off kerana sibuk dengan bola sepak atau perkara lain, dia akan merakamnya supaya dapat ditonton selepas itu,” menurut sumber kelab berkenaan.

“Dia memikirkan idea hasil tontonan itu, mencari bahan dan membuatnya mengikut cita rasa tersendiri.

“Dia menggunakan khidmat rakan sepasukan untuk menguji kek yang dibuatnya dan mereka suka.

“Kevin pernah berkata bahawa proses membuat kek sama dengan melakukan hantaran sempurna di padang. Menurutnya ia memerlukan kesemuanya diadun dengan tepat.”

Biarpun menampilkan aksi membanggakan dengan empat gol dalam lima perlawanan bersama City, selain menjaringkan gol ketika kelayakan Euro baru-baru ini, De Bruyne tetap merendah diri apabila berkata akan tiba masa sukar baginya hendak menyumbang gol kepada pasukan.

Namun bekas pemain Wolfsburg dan Chelsea itu yakin andai semuanya berlaku, dia akan terus memperbaiki aksinya dan baginya itu sudah memadai.

“Saya beraksi dengan baik ketika ini dan tentu sekali mahu terus menjaringkan gol namun akan tiba masanya saya tidak dapat menjaringkan gol dengan kerap,” katanya.

“Ia bukan satu masalah asalkan saya mempamerkan aksi cemerlang, ia sudah memadai.”

Ternyata ia permulaan yang sibuk buat pemain City yang menggalas tugas Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Kejuaraan Eropah mewakili City dan Belgium, jadi dia tidak mempunyai banyak masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan di Manchester.

De Bruyne yang baru meninggalkan hotel dan mula menguruskan kediaman sendiri membuatkannya begitu sibuk hinggakan tidak ada masa untuk berehat tetapi dia sudah mula membiasakan diri dengan kelab, seperti juga keluarga yang banyak membantunya.

Begitupun dengan situasi terkini berdepan kecederaan hamstring Sergio Aguero, membuatkan De Bruyne perlu mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang terbabit.

“Dia antara penyerang terbaik dunia dan mencipta banyak peluang dengan menjaringkan lima gol dalam perlawanan sebelumnya dan kini kami kehilangannya,” katanya.

“Kami akan cuba mempamerkan aksi terbaik tanpanya dan pasti dia akan gembira bila kembali kelak.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 7:44 AM