Sejak kebelakangan ini, kereta saya yang berumur lebih 10 tahun kurang kuasa pecutan.

Ada rakan mencadangkan saya menukar ekzos dan minyak pelincir untuk mengembalikan prestasinya. Benarkah katanya?

MAZUAN, Perlis

Sebenarnya, kehilangan kuasa adalah perkara biasa bagi kenderaan lama kerana ia berpunca daripada kehausan yang berlaku pada enjin.

Jika tinggal di kawasan berhampiran bandar dan memandu kenderaan setiap hari, anda tentu sedar sebahagian besar masanya, kenderaan berhenti ketika menunggu dalam kesesakan trafik dan lampu isyarat.

Setiap kali menghidupkan enjin, ada sedikit masa ketika mana enjin mungkin berputar tanpa minyak pelincir yang mendap ke bawah. Kehausan enjin menyebabkan peningkatan toleransi bahagian bergerak, sekali gus menghasilkan serpihan atau habuk logam yang membawa kepada kerosakan.

Kehausan enjin boleh menyebabkan kehilangan kuasa secara keseluruhan, seiring dengan faktor umur enjin. Bagi tahap lebih teruk, enjin mungkin perlu dibaik pulih untuk mengembalikan kuasanya seperti baru.

Kehilangan kuasa juga berpunca daripada pengumpulan karbon di dalam kebuk pembakaran dan kelegaan injap yang menyebabkan sedikit kebocoran mampatan enjin ketika pembakaran.

Ekzos bocor menyebabkan aliran terlalu lawas dan mungkin membawa kepada kehilangan kuasa. Tidak semestinya ekzos yang berbunyi seperti kereta lumba memberi hasil memuaskan tetapi sebenarnya ia menggunakan bahan api secara maksimum.

Gunakan minyak enjin berkualiti tinggi untuk mendapatkan perlindungan unggul dan kebersihan dari awal seperti sintetik. Bagaimanapun, kereta yang berusia perlu menggunakan minyak pelincir lebih pekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:00 AM