BARISAN pelakon dan kru Hello Mr  Perfect!
BARISAN pelakon dan kru Hello Mr Perfect!
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Tidak dinafikan ketika ini setiap drama yang mengisi slot Akasia di TV3 menjadi pilihan nombor satu peminat.

Ia juga menjadi penanda aras kepada perjalanan seseorang pelakon baru dan juga lama.

Terbaru, menggantikan drama Mencintaimu lakonan Zahirah Mac Wilson dan Sharnaaz Ahmad adalah Hello Mr Perfect! yang mula ditayangkan semalam. Drama bersiri 28 episod ini menggandingkan aktor kacak, Fattah Amin dan aktres baru, Ruhainies Zainul Ilyas.

Penerbitnya, A Aida berkata, drama adaptasi novel ini menampilkan jalan cerita berbeza daripada kebanyakan drama adaptasi lain.

Aida turut meletakkan harapan tinggi supaya drama ini mampu meraih jumlah tontonan tinggi sekali gus mencipta fenomena dalam kalangan peminat drama tempatan.

“Sebagai penerbit, sudah semestinya saya menaruh harapan tinggi terhadap drama ini kerana ia diadaptasi daripada novel terkenal dan ‘best seller’ karya Miss_Waniey.

“Paling penting jalan ceritanya sangat menarik. Itu yang membuatkan saya berkeyakinan tinggi,” katanya.

Menurut Aida, memandangkan ini drama pertama terbitannya berdasarkan adaptasi novel, jadi dia perlu lebih teliti dan tidak mahu tangkap muat.

Mengulas berkenaan pemilihan pelakon, Aida berkata, ia atas persetujuan dan perbincangan bersama pihak stesen TV.

“Tak timbul soal bimbang apabila menggandingkan pelakon lama dan baru sebagai pasangan hero dan heroin. Ada banyak drama dari slot sama menggunakan formula sama dan hasilnya berjaya.

“Namun, sebagai penerbit saya tetap mengutamakan skrip dan pemilihan pelakon jatuh nombor dua. Saya percaya kalau skrip dan garapan cerita bagus, ia pasti menghasilkan drama berkualiti,” katanya.

Sudah menjadi kebiasaan Aida juga apabila dia terlebih dahulu membaca skrip kemudian baru mencari pelakon bersesuaian.

“Selama ini orang tahu produksi saya sering menampilkan barisan pelakon ternama. Tapi untuk drama ini saya memang nak ketengahkan orang baru.

“Bukan apa, jalan ceritanya lebih kepada golongan remaja. Sebab itu saya memilih Fattah kerana dia ada peminat daripada golongan itu,” katanya.

Drama hasil tulisan Mazelan Manan ini sekali lagi menggunakan khidmat kreatif Nuad Othman selaku pengarah.

“Jujur saya katakan, Nuad antara pengarah yang ‘versatile’ dan mempunyai seni tersendiri dalam mengarah. Sudah banyak drama terbitan saya diarahkannya. Alhamdulillah, semuanya menjadi dan saya berpuas hati.

“Selain itu, sebagai penonton kita tak bosan melihat hasil garapannya kerana dia ada idea di samping menampilkan ‘syot’ menarik dalam setiap babak. Jangan hairan jika saya selesa bekerja dengan satu pengarah saja,” katanya.

Selain bergelar penerbit, Aida juga bertindak selaku komposer dan penulis lirik bagi lagu tema drama ini iaitu Sorry Sorry Sayangku nyanyian Nomad.

Selain Fattah dan Ruhainies, drama terbitan Kaki Novel ini turut membariskan pelakon seperti Ezzaty Abdullah, Rafiq Razali, Datuk Eizlan Yusof, Zaidi Omar, Fiza Halim, Kay Maria, Lan Siro, Adiba Yunus, Chomel Fana, Nafiez Zaidi, Mimi Ernida, Ammar Alfian dan ramai lagi.

Hello, Mr Perfect! mengisahkan Ariff (Rafiq Razali) dan Ainul pasangan kekasih yang ingin berkahwin, namun terhalang kerana abangnya, Izzul (Fattah) belum berkahwin.

Keluarga mereka mempunyai tradisi apabila yang muda tidak boleh langkah bendul walaupun konsep itu hanya jatuh jika yang di atasnya adalah perempuan.

Lebih memeningkan lagi apabila keluarga Ainul hanya memberikan tempoh enam bulan kepada Arif, jika tidak Ainul akan dikahwinkan dengan orang lain.

Arif terpaksa merayu kepada Izzul dan sanggup untuk mencarikan jodoh buat abangnya itu, tetapi tidak semudah disangka kerana abangnya lelaki yang amat mementing­kan kesempurnaan.

Hampir semua calon dicari Arif ditolak hanya kerana tidak memenuhi kriteria diingini. Pada saat buntu untuk mencarikan jodoh buat abangnya, muncul teman baik Ainul iaitu Alya Adriana (Ruhainies).

Dalam kekusutan itu, Ainul memberi cadangan kepada Alya untuk menerima lamaran Izzul kerana dia akan menerima RM500,000 sebagai ganjaran, tetapi tidak diketahui Arif.

Ambil masa cipta keserasian

Memandangkan Fattah berlakon di samping dua pelakon baru iaitu Rafiq Razali sebagai adik dan Ruhainies sebagai heroinnya, pelakon drama Plan Cinta Tak Jadi ini mengakui bukan mudah untuk mendapatkan keserasian.

“Diakui perlu ambil masa bagi mendapatkan keserasian di lokasi. Tapi disebabkan produksi perlu mengejar tarikh tayangan, jadi kami sempat berlatih di lokasi.

“Pada saya ia satu cabaran, jadi saya perlu atasinya de­ngan baik supaya setiap babak itu tak kelihatan canggung. Saya pernah berada di tempat mereka, jadi saya faham.

“Apa saya lakukan adalah cuba membantu mereka dari segi lakonan dalam waktu sama pengarah juga memberi banyak tunjuk ajar,” katanya.

Kata Fattah, dia tertarik menerima tawaran daripada pihak A Aida Production kerana jalan ceritanya bayak memaparkan babak manis.

“Selepas membaca novel ini, saya terus jatuh cinta sebab kebanyakan plot adalah manis dan bukannya romantis keterlaluan.

“Apabila ditayangakan di slot Akasia, dalam fikiran penonton mesti banyak adegan sedemikian. Tapi sebenarnya tidak kerana ia banyak memaparkan aksi manis,” katanya.

Sementara itu, Ruhainies, 23, yang juga adik kepada aktres, Risteena Munim ini perlu menggalas tiga watak dalam satu masa. Ia disifatkan sebagai cabaran besar buatnya apatah lagi sebagai pelakon baru.

“Terkejut juga apabila diberitahu saya perlu melakonkan tiga watak berbeza. Paling susah buat saya adalah watak antagonis dan dalam masa sama kena jadi penggoda.

“Tertekan itu perkara biasa, tapi pengarah, kru dan pelakon lain sangat membantu. Mereka tak bosan mengajar saya kerana masing-masing mahu memberikan hasil terbaik dalam drama ini,” katanya.

Berkenaan gandingan­nya dengan Fattah, Ruhainies akui dia masih perlu banyak belajar terutama soal mencari keserasian dengan pasangan.

“Rasa berdebar menunggu reaksi dan maklum balas penonton. Jujurnya, saya sudah bersedia dikriktik tak boleh berlakon. Tapi saya akan menerimanya dengan hati terbuka. Saya berharap penonton faham memandangkan saya pelakon baru,” katanya.

Sama seperti Ruhainies, Rafiq Razali, 21, juga teruja apabila buat pertama kalinya diberikan watak besar dalam drama.

“Sebelum ini saya sering belakon sebagai watak tambahan. Tapi dalam drama ini saya menjadi adik kepada Fattah. Kiranya watak diberiikan sangat besar kerana kebanyakan babak membabitkan kami berdua.

“Berbeza dengan watak sebelumnya, kali ini saya banyak bermain dengan emosi. Justeru, saya kena fokus dan tak boleh main-main. Alhamdulillah, berlakon dengan Fattah sangat menyeronokkan apatah lagi sebelum ini kami pernah berlakon sekali walaupun tak banyak babak bersama,”

katanya.

Pemilihan Rafiq bagi menjayakan drama ini selepas dia terpilih di sesi uji bakat anjuran TV3 sempena penganjuran Drama Festival KL (DFKL 2015) baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 5:33 AM