Jakarta: Jumlah jemaah haji Indonesia yang terbunuh dalam tragedi rempuhan di Mina pada minggu lalu meningkat kepada 41 orang dan berpuluh-puluh lagi masih hilang.

Pegawai Kementerian Agama, Abdul Djamil berkata, jumlah jemaah terkorban meningkat kepada 41 orang dan 82 lagi dilaporkan masih hilang.

Katanya, pihaknya mengambil masa untuk mengesan jemaah yang terkorban kerana hanya diberi kebenaran masuk ke rumah mayat selepas dua hari tragedi itu berlaku.

“Kami kini kesuntukan masa kerana semakin lama masa diambil, semakin sukar untuk mengenal pasti jemaah yang terkorban,” katanya.

Proses mengecam jemaah yang terkorban sukar kerana banyak mayat yang sukar dikenal pasti kerana cedera parah dan kehilangan anggota badan.

“Pegawai terpaksa memeriksa pakaian dan gelang pengenalan diri yang dipakai mangsa untuk proses pengecaman.

“Kami bekerja siang dan malam untuk mengesan jemaah yang hilang serta mengenal pasti jemaah yang meninggal dunia,” jelasnya.

Tragedi rempuhan di Mina pada Khamis lalu itu menyebabkan seramai 769 terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera.

Rempuhan itu adalah tragedi kedua pada musim haji tahun ini selepas kejadian kren tumbang pada 11 September lalu menyebabkan lebih 100 jemaah terbunuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:05 AM