Son Heung-Min (gambar) menemui resipi kejayaan dalam Liga Perdana Inggeris selepas berjaya menambat hati pengurus Tottenham Mauricio Pochettino dan rakan sepasukan barunya dengan menjamu mereka hidangan Korea yang menyelerakan.

Heung-Min memulakan kehidupan di utara London dengan cemerlang menerusi tiga gol dalam tiga perlawanan selepas berpindah dari kelab Jerman Bayer Leverkusen Ogos lalu dengan bayaran £18 juta (RM121.4 juta).

Hanya tiga hari selepas membuat penampilan sulung di laman sendiri dengan dua jaringan yang membantu Tottenham menewaskan Qarabag dalam saingan Liga Europa, penyerang Korea Utara itu terus menjadi tumpuan apabila menjaringkan gol pertama Liga Perdana Inggeris untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.

Aksi dinamik Heung-Min menjadikannya pemain yang mula disanjung peminat Spurs, yang memberi sambutan hebat ketika dia digantikan pada perlawanan Ahad lalu dan turut popular di mata Pochettino dan seluruh skuad Tottenham.

Hakikatnya mereka menghormati kesungguhan Heung-Min yang tidak mengenal jemu, gerakan bijak dan sentiasa memburu peluang jaringan tetapi Heung-Min juga turut dikenali kerana membelanja pasukannya makanan Korea di pusat latihan kelab itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan kakitangan kerana mengalu-alukan kedatangan saya ke Tottenham dan saya mahu memperkenalkan makanan dan budaya Korea kepada pemain,” katanya.

“Ia adalah makanan tradisi Korea, dengan barbeku, penkek makanan laut dan pelbagai makanan lain.

“Saya memesannya daripada sebuah restoran makanan Korea yang popular di London. Mereka mengaturkan segala-galanya.

“Mereka semua sukakannya terutamanya jurulatih, beliau makan berpinggan-pinggan. Beliau amat menyukainya, begitu juga dengan pemain lain. Saya ingin melakukannya lagi jika berpeluang.”

Selepas melihat sendiri bagaimana kesungguhan Heung-Min mengendalikan banquet berkenaan, Pochettino berkata sikap pemurah pemuda itu melambangkan rasa rendah diri yang menjadikannya begitu berharga kepada kelab itu.

“Dia seorang yang ramah dan merendah diri. Selepas semunggu dengan pasukan, dia membawa hidangan Korea yang sedap di pusat latihan. Saya makan banyak. Saya sukakannya,” kata Pochettino.

Pochettino bukan saja memuji makanan terbabit tetapi juga kagum dengan kejayaan Son menyesuaikan diri dengan pantas untuk memenuhi Liga Perdana Inggeris.

“Dia adalah pemain yang kami ikuti perkembangannya sejak sekian lama, dia boleh bermain dalam pelbagai posisi serangan jadi bila anda membawa masuk pemain seperti ini, ia sesuatu yang hebat,” kata Pochettino.

“Ia digambarkan menerusi perwatakannya. Saya mahu mendapatkannya kerana profil yang dimilikinya. Dia mempunyai tenaga dan mampu memberi tekanan hebat dengan tempo yang tinggi.

“Persembahannya sungguh menakjubkan, tenaga yang ditunjukkannya luar biasa dan kerana itu saya rasa penyokong gembira dengannya.

“Saya gembira kerana dia menjaringkan tiga gol dalam dua kemenangan. Saya berpuas hati dengannya”.

Biarpun dipuji melambung oleh Pochettino, Heung-Min mengakui masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan liga utama Inggeris dan berjanji akan memberikan yang terbaik sebaik berjaya mengukuhkan kedudukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:03 AM