REKAAN rak turut mempengaruhi gaya susunan koleksi peribadi anda.
REKAAN rak turut mempengaruhi gaya susunan koleksi peribadi anda.
GAYA susun letak koleksi peribadi boleh mengubah suasana untuk kelihatan lebih segar.
GAYA susun letak koleksi peribadi boleh mengubah suasana untuk kelihatan lebih segar.

Salam deko! Minat mengumpul bahan koleksi peribadi adalah hobi yang unik. Biasanya mereka bersifat penyayang dan menghargai harta benda. Di Barat, kebanyakan kediaman mempunyai sebuah bangsal, bengkel atau stor di luar rumah atau bawah rumah supaya mereka dapat mengumpul atau menyimpan semua koleksi dalam keadaan baik.

Di negara kita, keadaannya berbeza melainkan jika anda tinggal di tanah lot, banglo atau semi-D yang menyediakan sebuah bilik tambahan sebagai stor. Namun, itu tidak bermakna kita kekurangan pengumpul koleksi.

Masalahnya, kebanyakan mereka gemar menyimpan koleksi dalam kotak atau bungkusan dan lebih kelakar ialah kotak itu disumbat di bawah katil atau atas almari.

Ini satu fenomena biasa dalam masyarakat kita melainkan mereka memiliki ruang atau bilik khas.

Lazimnya kebanyakan kita gemar mengumpul beg tangan, kasut, minyak wangi, hiasan kaca, kristal, topi dan barang permainan.

Kini, anda tidak lagi perlu membungkus atau meletak pelbagai barangan koleksi di bawah katil atau atas almari kerana alternatifnya adalah menerusi penggunaan rak perhiasan atau almari peragaan. Segalanya bergantung kepada ruang yang anda miliki.

Jika memiliki kediaman dengan ruang yang terhad, pemilihan rak perhiasan atau almari peragaan ini masih boleh digunakan, tetapi dengan rekaan lebih ringkas dan minimalis.

Selalunya saya menghasilkan rekaan rak hiasan atau almari peragaan hanya dengan menggunakan kayu dan lapisan milamin. Ia sudah memadai kerana terdapat pelbagai pilihan termasuk dari jenis yang boleh diubah atau terus dilekat pada dinding dan ia adalah pilihan terbaik buat anda yang memilik ruang terhad.

Terdapat pelbagai rekaan rak dan almari perhiasan ini. Anda boleh memilih dari jenis yang berpintu atau terbuka. Segalanya bergantung kepada jenis barangan koleksi anda. Jika dari jenis berkaca, mudah pecah atau mudah rosak, saya syorkan anda memilih rak berpintu kaca. Jika anda memiliki barangan yang sebaliknya dan mahu mudah dicapai, pemilihan daripada jenis yang tidak berpintu adalah sesuai.

Anda menghabiskan banyak masa dan wang ringgit untuk menjadi seorang pengumpul, jadi jika pelbagai barangan yang anda kumpul hanya tersimpan di bawah katil atau dalam kotak, ia tidak mendatangkan apa-apa makna buat diri anda. Pamerkan segala barangan yang menjadi koleksi anda supaya sentiasa nampak di mata untuk menggamit memori dan kepuasan peribadi selain dilihat tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:01 AM