Kuala Lumpur: Desas-desus mengenai pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Sri Mohd Shafie Apdal tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini memberi tumpuan kepada usaha menyatukan dan mengukuhkan UMNO dengan kedua-dua mereka berkata mereka akan bekerja untuk kepentingan parti.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemecatan pemimpin UMNO 'tidak pernah berada dalam agenda.'

"Ia cuma spekulasi dari luar," kata Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO selepas mempengerusikan mesyuarat, merujuk kepada khabar angin bahawa Muhyiddin dan Mohd Shafie akan dipecat bersama pemimpin seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Muhyiddin, selaku Timbalan Perdana Menteri dan Mohd Shafie sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, digugurkan dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu.

Mesyuarat MT yang dijadualkan pada Julai ditangguhkan susulan rombakan Kabinet dan sekali lagi ditunda bulan lalu untuk membolehkan bahagian UMNO mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Muhyiddin duduk di sebelah Najib pada sidang media. Mohd Shafie dan dua orang lagi naib presiden - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga hadir.

Najib berkata, Muhyiddin dan Mohd Shafie berikrar untuk bekerja demi kepentingan parti.

"Saya alu-alukan pembabitan Muhyiddin dalam parti. Dia melahirkan kesanggupan beliau untuk berjuang demi kepentingan parti.

"Terima kasih juga kepada Shafie kerana melahirkan komitmen yang sama iaitu kesanggupan bekerja demi kepentingan parti," kata beliau.

Beliau berkata UMNO sekarang boleh memberi tumpuan kepada solidariti dalam kepimpinan parti. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 9:40 PM