Wajah bayi dari Syria yang tiba di Roszke, Hungary, selepas menempuh perjalanan ribuan kilometer melalui jalan laut dan berjalanan kaki bersama keluarga mereka untuk mencari kehidupan lebih baik. - Foto Daily Mail

Gambar mayat Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang terdampar di pantai Turki selepas bot dinaiki bersama keluarganya karam menjadi tajuk utama akhbar Eropah minggu lalu, membuka mata pemimpin Kesatuan Eropah mengenai penderitaan kanak-kanak yang menjadi pelarian. - Foto  EPA

Kanak-kanak dibawa bapa atau berjalan sendiri sambil memegang patung beruang bersama ratusan pelarian ke Hungary. - Foto Daily Mail
Kanak-kanak dibawa bapa atau berjalan sendiri sambil memegang patung beruang bersama ratusan pelarian ke Hungary. - Foto Daily Mail
Asal Habibi berusia empat tahun melarikan diri bersama keluarganya dari Afghanistan antara ratusan kanak-kanak dan bayi yang tiba di Roszke, Hungary, dari Serbia setiap hari untuk memasuki Eropah. - Foto Daily Mail

Malmo (Sweden): Bukan hanya Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang gambar mayatnya terdampar di pantai Turki menggambarkan penderitaan kanak-kanak pelarian ke Eropah, malah ratusan, mungkin ribuan lagi mengalami nasib malang dalam perjalanan cuba berhijrah mencari kehidupan lebih baik.

Setiap hari, dianggarkan 700 pelarian kanak-kanak tiba di Sweden tanpa ibu bapa dengan ramai cedera sama ada fizikal atau psikologi kerana kemalangan, dipukul malah dirogol orang yang menyeludupkan mereka.

Biasanya kanak-kanak itu terutama budak lelaki memulakan perjalanan dari Timur Tengah, Afrika dan Asia menyeberang Jambatan Oresund dari Denmark untuk tiba di bandar pertama Sweden, Malmo.

Menurut kakitangan pusat bantuan di Malmo, ramai kanak-kanak yang bersendirian itu cedera di kepala atau patah tulang kerana terjatuh dari lori yang membawa mereka namun ia juga akibat dipukul anggota sindiket penyeludupan yang diupah ibu bapa mereka untuk membawa kanak-kanak itu ke Eropah.

Ada kanak-kanak hilang pendengaran akibat ditampar ketika dalam perjalanan termasuk menyeberang laut menggunakan rakit atau bot.

“Ramai kanak-kanak itu, terutama dari Libya dan Syria melihat sendiri abang, kakak atau adik mereka lemas di laut apabila bot karam,” kata pengurus pusat itu, Kristina Rosen.

Sweden menerima pelarian suaka politik lebih tinggi berbanding negara Eropah lain, sebahagian besarnya melarikan diri daripada peperangan di Syria. Ia juga menerima satu pertiga daripada keseluruhan kanak-kanak tanpa ibu bapa dengan jumlahnya tahun ini dijangka mencapai 12,000 orang.

Menurut Rosen, ibu bapa hanya mampu membayar untuk seorang ahli keluarga diseludup ke Eropah lalu menghantar anak ke Sweden bagi mengelak dipaksa menjadi askar oleh militan.

Ramai kanak-kanak dari Afghanistan, Eritrea, Somalia dan Syria itu ditemui merayau-rayau di jalanan selepas ditinggalkan penyeludup dan sebahagian besarnya ialah lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Kanak-kanak itu berada di Malmo beberapa hari sebelum dihantar ke pusat lain di seluruh Sweden atau tinggal bersama keluarga angkat jika terlalu muda. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:21 PM