Antara premis yang diserbu.
Antara premis yang diserbu.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Tampin: Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menggempur 21 premis ejen judi ekor tak berlesen di Pekan Tampin, Gemencheh, dan Gemas, di sini, Port Dickson, serta Pulau Sebang, Melaka, petang tadi.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, premis berkenaan diserbu serentak kira-kira 4.15 petang tadi.

"Dalam serbuan itu, seramai 27 individu termasuk lapan wanita yang semuanya adalah ejen judi ekor tak berlesen berusia 23 hingga 53 tahun ditahan.

"Polis turut merampas wang tunai RM23,266, 42 telefon bimbit, 14 pencetak dan 66 slip kertas bertulis angka," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, semua barang rampasan dan individu yang ditahan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut 4A(a) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun, didenda dari RM20,000 hingga RM200,000.

Beliau berkata, operasi itu disertai seramai 146 pegawai dan anggota STAGG.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 12:17 AM