Bolt dibantu seorang kakitangan trek selepas dilanggar jurukamera televisyen. - PIX AFP
Bolt dibantu seorang kakitangan trek selepas dilanggar jurukamera televisyen. - PIX AFP

Beijing: Selepas acara berakhir dan jurugambar merakam detik kemenangan barulah Usain Bolt menemui lawan sebenar.

Bolt mengatasi Justin Gatlin serta semua pencabar acara 200m dalam laluan memenangi pingat emas ke-10 karier pada Kejohanan Olahraga Dunia di Beijing, malam tadi.

Cabaran pelari berketinggian 6 kaki 5 inci dari Jamaica itu berakhir apabila dilanggar oleh seorang jurukamera televisyen menaiki skuter dua tayar.

Ketika insiden jurukamera terbabit sedang merakam pelari itu membuat pusingan berkaki ayam meraikan kejayaan memenangi acaranya di sekeliling trek.

Skuter melanggar rel penghujung trek serta terkeluar landasan sebelum melanggar kaki pelari terpantas dunia itu.

Insiden menyebabkan Bolt terjatuh ke atas jurukamera terbabit sebelum kembali bangun serta berlari semula bagi memastikan kaki tidak mengalami kecederaan.

"Khabar angin saya dengar adalah Justin Gatlin mengupahnya (jurukamera) melakukan perkara itu," kata Bolt sewaktu duduk di sebelah pelari Amerika Syarikat itu dalam sidang media.

Gatlin menamatkan saingan di tempat kedua berkata: "Saya mahu wang dipulangkan semula. Dia tidak melakukan tugas dengan baik."- AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 11:51 AM